BERITA UTAMA

Kes warga Israel: Pasangan suami isteri dituduh di mahkamah hari ini – KPN

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun yang ditangkap pada 29 Mac lalu di Kuala Selangor dalam Ops Shalom berkait seorang warga Israel dikesan memiliki enam pucuk pistol bersama 200 butir peluru, dijadualkan didakwa di mahkamah Klang, hari ini.

Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang turut memaklumkan bahawa lelaki Israel dikenali sebagai Shalom Avitan, 38 itu pula dijangka dituduh pada minggu depan selepas sambutan Aidilfitri.

Setakat ini, beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan dan mengumpul beberapa maklumat berhubung motif sebenar pemilikan senjata api oleh warga Israel itu.

Semalam, BH memetik Razarudin berkata, tahanan reman ke atas Shalom disambung selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan dilengkapkan secara terperinci selepas tempoh terdahulu berakhir semalam.

Pada 27 Mac lalu, Shalom – warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis – ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger berserta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati Shalom yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu melalui penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport kewarganegaraan Perancis, didakwa merancang untuk membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Susulan soal siasat ke atas Shalom, polis kemudian memberkas pasangan suami isteri terbabit di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu, yang disyaki menjual enam senjata api kepada Shalom, selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang di dalam kereta milik pasangan terbabit.

Pasukan khas polis dari JSJ Bukit Aman, Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kemudian menahan 12 lagi individu melalui beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan serta Lembah Klang.

Kesemua mereka disiasat kerana disyaki terbabit pengedaran senjata api yang dirampas itu, aktiviti pembayaran wang kripto untuk urusan pembelian senjata, dan kesalahan-kesalahan berkaitan. – (Dipetik laporan Berita Harian)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *