BERITA UTAMA

Tiada lagi kedutaan Israel selamat’, amaran pegawai tinggi tentera Iran

TEHRAN – Seorang pegawai kanan tentera Iran semalam memberi amaran bahawa tiada satu pun misi diplomatik Israel akan selamat selepas serangan ke atas Konsulat Iran di Syria.

Mejar Jeneral Yahya Rahim Safavi, penasihat tentera tertinggi kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, berkata tiada satu pun daripada kedutaan Israel akan selamat dan disebabkan itulah rejim berkenaan menutup 28 kedutaan minggu ini.

Bekas komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata serangan peluru berpandu 1 April ke atas sebuah bangunan yang berfungsi sebagai sayap hal ehwal konsular Kedutaan Iran di Damsyik, Syria melanggar undang-undang antarabangsa.

Agensi Anadolu melaporkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan itu, termasuk tujuh pegawai IRGC, sekali gus pihak berkuasa Iran menyalahkan Israel.

Antara yang terbunuh ialah komander kanan Pasukan Quds IRGC di Syria dan Lubnan, Jeneral Mohammad Reza Zahedi dan timbalannya Jeneral Hadi Haj Rahemi.

Safavi berkata, Pemimpin Tertinggi Iran Khamenei berikrar akan bertindak ke atas Israel dan bersedia membalas dendam.

“Kami perlu menunggu dan melihat apa yang berlaku,” kata pegawai kanan tentera itu, mengesahkan spekulasi bahawa Iran sedang menimbang pilihannya untuk membalas dendam terhadap serangan Damsyik.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 28 misi diplomatik Israel di rantau Asia Barat ditutup sejak beberapa hari lalu di tengah-tengah jangkaan untuk sebarang tindakan balas Iran.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, sehari selepas serangan itu, Khamenei berkata Israel akan dihukum dan tentera Iran akan membuatkan rejim Zionis itu menyesali jenayah dilakukan mereka.

Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian, yang memulakan lawatan serantau semalam bertemu pegawai kanan Houthi Yaman Mohammad Abdul Salam di ibu negara Oman, Muscat.

Beliau berkata serangan ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik dilakukan dengan pesawat dan peluru berpandu buatan Amerika Syarikat (AS), sekali gus berikrar untuk memastikan penjenayah bertanggungjawab.

Amir-Abdollahian dijadualkan melawat Damsyik juga, menurut laporan.

Ia berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di rantau itu yang dicetuskan oleh serangan maut Israel di Semenanjung Gaza dan perkembangan berkaitan, termasuk serangan terhadap kepentingan Israel dan AS di rantau itu oleh kumpulan bersekutu Iran di Iraq dan Yaman. – (Dipetik laporan AGENSI)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *