BERITA UTAMA

UMNO Jasin berdiri teguh belakang Dr. Akmal

MELAKA – UMNO Bahagian Jasin berdukacita dan terkejut dengan tindakan polis menahan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Amkal Saleh di Lapangan Terbang Kota KInabalu pagi semalam, walaupun beliau telah menyatakan persetujuan untuk hadir memberi kerjasama di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Azman Abdullah berkata, kelantangan Dr. Akmal dalam isu kebiadapan peniaga menghina kalimah Allah telah disalah tafsir dan beberapa insiden keganasan berkaitan isu itu telah dihalakan kepada pihaknya sebagai punca.

“Kami bertegas dengan seruan #BoikotKKMart dan akan terus kekal dengan prinsip ini.

“Tidak menjadi sebarang kesalahan untuk rakyat Malaysia menganjurkan serta melaksanakan boikot terhadap mana-mana pihak selagi ianya di dalam ruang lingkup perundangan negara,” katanya dalam kenyataan.

Azman menegaskan, boikot itu dianjurkan secara aman dan penuh tertib, malah Dr. Akmal tidak pernah sekali dalam apa-apa keadaan atau di mana-mana tempat sama ada menggesa mahupun mengarahkan sesiapa untuk bertindak di luar batas undang-undang.

Dalam masa sama, UMNO Bahagian itu mengharapkan pihak berkuasa dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh etika dan profesional.

“Kami juga berharap supaya semua ahli UMNO terutamanya di Bahagian Jasin untuk terus mendoakan agar segala urusan Dr. Akmal dipermudahkan.

“UMNO Bahagian Jasin sentiasa menjunjung tinggi Kedaulatan Undang-Undang dan seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah.

“Kami akan terus berjuang bersama Dr. Akmal bagi terus menjamin keselamatan serta kesucian agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu dari bahan hinaan musuh,” katanya. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *