BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) tidak melihat keperluan untuk tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perak dan Pahang meskipun kejayaan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini membuka ruang kepada perbincangan mengenai pembentukan kerajaan baharu di kedua-dua negeri.
Pendirian itu dinyatakan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan, keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan Pahang bukan sesuatu yang boleh dibuat secara terburu-buru.
Sebaliknya, beliau menyerahkan pertimbangan berkenaan kepada Menteri Besar masing-masing untuk menilai keadaan politik, kedudukan kerajaan negeri serta kesesuaian masa sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada Sultan.
Menurut Ahmad Zahid, BN baru sahaja selesai menghadapi PRN Melaka dan tidak mahu perkembangan politik di negeri itu dijadikan alasan untuk segera membuka satu lagi gelanggang pilihan raya.
“Kita baru sahaja selesai PRN Melaka. Jadi, kita tidak mahu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya di negeri lain. Saya serahkan kepada Menteri Besar di negeri masing-masing untuk melihat situasi dan mempersembahkan nasihat kepada Tuanku jika bersesuaian,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, kejayaan kerjasama politik di Melaka tidak semestinya membawa kepada keputusan untuk mengadakan pilihan raya di negeri lain dalam tempoh terdekat.
Perkembangan politik di Melaka sememangnya memberikan dimensi baharu kepada hubungan BN dan PN, khususnya selepas kedua-dua gabungan itu memperlihatkan kemampuan bekerjasama dalam menghadapi persaingan pilihan raya.
Namun, keadaan politik setiap negeri mempunyai latar belakang, komposisi pengundi, hubungan antara parti dan susunan pentadbiran yang berbeza.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Perak dan Pahang, misalnya, ketika ini sudah mempunyai kerajaan negeri yang diterajui BN menerusi kepimpinan Menteri Besar masing-masing, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Oleh itu, persoalan pembubaran DUN bukan sekadar berkaitan kemampuan BN dan PN mengulangi kerjasama seperti di Melaka, sebaliknya turut membabitkan keperluan politik dan pentadbiran negeri.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
