GERIK – Seorang Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Perak maut selepas dipercayai terkena kabel telekomunikasi yang tertanggal dan terjuntai pada paras rendah akibat tersangkut pada muatan sebuah treler di Kilometer 71.4 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, di sini, semalam.
Mangsa, Mohamed Fitri Aslam Mohamed Jamaludin, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu berlaku ketika kerja-kerja penurapan semula jalan sedang dijalankan oleh pekerja syarikat konsesi penyelenggaraan jalan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila sebuah lori membawa muatan tar menaikkan bahagian badan muatannya (dump body) untuk menurunkan bahan berkenaan ke permukaan jalan.
Bagaimanapun, ketika badan lori itu diturunkan semula, bahagiannya dipercayai tersangkut pada kabel telekomunikasi yang merentangi jalan berkenaan.
“Keadaan itu menyebabkan kabel berkenaan tertarik, kendur dan berjuntai pada paras lebih rendah daripada kedudukan asal,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Abdul Samad berkata, sebelum kabel itu sempat dialihkan, sebuah lagi treler jenis Hino yang membawa muatan mesin padi dari arah Gerik menuju Kuala Kangsar melalui kawasan berkenaan.
Treler terbabit kemudian tersangkut pada kabel yang sudah kendur itu sehingga menyebabkannya tertarik dan tercabut daripada tiang.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kabel yang tertanggal itu dipercayai terkena mangsa dan mengakibatkan kecederaan serius di bahagian kepala sebelum beliau disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Dalam perkembangan sama, polis menahan treler berkenaan untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Abdul Samad turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan keselamatan dan memberi perhatian terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika melalui kawasan yang sedang menjalani kerja penyelenggaraan jalan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
