BERITA UTAMA

Ayah rayu bantu anak leukemia

JOHOR BAHRU – Seorang bapa, mengharapkan bantuan dan sumbangan orang ramai untuk meneruskan rawatan anak perempuannya yang mengidap kanser leukemia.

Mohd Romzan Ramli, 44, berkata, penyakit dihidapi anaknya, Nur Alish Umairah, 5, itu dikesan sejak Julai tahun lalu.

Beliau yang bekerja sebagai buruh kontrak mengakui kehidupan sekeluarga mula berubah sebaik mengetahui penyakit yang dihidapi anak keduanya itu, selain terpaksa menjaga tiga lagi anak dengan pendapatan bulan yang kecil.

“Saya hanya pekerja kontrak yang berpendapatan RM1,000 sebulan. Isteri pula seorang suri rumah sepenuh masa dan masih dalam berpantang selepas bersalin sebulan lalu.

“Sejak tahu anak sakit, sumber kewangan kami tidak mencukupi dan anak sulung pula terpaksa berhenti sekolah sebelum ini kerana mahu bantu jaga adik yang berusia dua tahun ketika saya berada di hospital mengurus rawatan Nur Alish.

“Bagaimanapun, saya sekeluarga ucap terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat (YBR) kerana sudi memberi sumbangan dan datang melihat keadaan Nur Alish yang sememangnya memerlukan kos perubatan agak tinggi,” katanya di kediamannya di Taman Sinaran Kempas, Johor Bahru.

Sementara itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani ketika ditemui berkata, pihaknya datang untuk menziarah dan melihat keadaan dialami adik Nur Alish Umairah yang menderita kanser leukemia dan terpaksa berulang alik ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan kemoterapi.

Katanya, YBR menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 dengan harapan dapat meringankan beban keluarga menanggung kos rawatan dan ubat.

Menurut beliau lagi, suasana lebih memilukan apabila keluarga enam beranak ini pernah terputus bekalan makanan hingga terpaksa meminta bantuan jiran untuk mengisi perut anak.

Ujar Syaiful, YBR mendoakan agar adik Nur Alish Umairah diberikan kesembuhan serta mendapat lindungan oleh-Nya, selain mengharapkan lebih banyak NGO atau orang ramai tampil meringankan bebanan ditanggung keluarga ini dan memastikan rawatan dapat diteruskan.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Orang ramai yang hendak menghulurkan bantuan kepada adik Nur Alish Umairah boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank 151623064684 atas nama Mohd Romzan Ramli (bapa) atau menghubungi mereka di talian 011-24410632. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *