BERITA UTAMA

MPOB gesa pemain industri minyak sawit eksport produk tokotrienol ke China

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggesa pemain industri minyak sawit untuk merebut peluang mengeksport produk tokotrienol sawit ke China selepas mendapat kelulusan untuk mendaftarkan produk itu di republik tersebut baru-baru ini.

Susulan kelulusan diterima pada 13 Mac, tokotrienol sawit (Vitamin E) kini dibenarkan untuk eksport dan digunakan dalam aplikasi makanan di China.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kelulusan itu turut memberi peluang kepada pemain industri untuk memanfaatkan potensi mengukuhkan kedudukan pasaran dan pendapatan mereka dengan ketara dalam antara pasaran terbesar dunia.

“Kelulusan ini antara hadiah terbaik yang dianugerahkan oleh kerajaan China kepada industri sawit Malaysia sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, melambangkan persahabatan yang kukuh dan berkekalan serta saling menghormati dan bekerjasama,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, kelulusan tersebut menggariskan komitmen dan usaha berterusan sektor minyak sawit Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam mematuhi piawaian kesihatan dan keselamatan antarabangsa.

Ia turut menunjukkan kerjasama strategik antara badan kerajaan dan pemain industri dalam menghadapi kerumitan akses pasaran global dan kelulusan kawal selia.

Kelulusan pendaftaran produk tokotrienol sawit bukan sahaja membuka ruang baharu kepada industri minyak sawit Malaysia untuk menembusi pasaran China tetapi turut berpotensi memberi impak positif yang ketara kepada ekonomi Malaysia, menurut MPOB.

“Peningkatan eksport tokotrienol ke China boleh membawa kepada peningkatan yang ketara kepada hasil negara, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemampanan dalam sektor pertanian,” katanya.

Menurut MPOB, agensi itu bersama pemain industri kekal komited untuk memanfaatkan peluang bagi meningkatkan penerimaan produk minyak sawit Malaysia di China dan seterusnya, memastikan pertumbuhan dan kemampanan industri yang berterusan. (Dipetik laporan BERNAMA)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *