BERITA UTAMA

Polemik perkataan kafir: Antara fakta dan auta

Oleh: Datuk Dr. Mohd Azri Zainul Abidin

DALAM negara Malaysia, sudah menjadi cara hidup orang Islam dalam bergaulan dengan bukan muslim sejak dahulu, tidak memanggil ‘hai kafir’. Majlis-majlis rasmi, tidak rasmi, dakwah dan apa sahaja memanggil mereka yang tidak menganut Islam sebagai ‘bukan muslim/Islam’, ‘penganut agama lain’, atau ‘bukan Melayu’.

Hanya dalam konteks akidah sahaja, perkataan kafir digunakan bagi merujuk perbezaan akidah, bukan sebagai satu panggilan. Jika ada yang memanggil secara berhadapan ‘hai kafir!’ itu tersasar dari yang asal dan sangat sukar berlaku melainkan dalam konteks pergaduhan atau hilang pertimbangan.

Tiada siapapun dalam negara ini menyuruh memanggil mereka yang berlainan agama ‘hai kafir’ ketika bergaul dan berdialog. Tidak perlu sesiapa pun menimbulkan isu dalam perkara ini.

Justeru, kempen agar tidak wajar muslim memanggil orang bukan muslim sebagai ‘wahai kafir!’ ketika berurusan adalah tidak realistik dalam masyarakat Malaysia. Ia seakan memberikan persepsi buruk yang tidak wujud kepada masyarakat muslim yang sangat toleran dalam negara ini.

Ia membohongi sikap baik yang sedia ditunjukkan oleh masyarakat muslim, seakan orang muslim di Malaysia memilih panggilan yang tidak sesuai kepada masyarakat bukan muslim ketika berinteraksi, padahal itu tidak berlaku.

Dalam masa sama, kita perlu sedar usaha menghapuskan beberapa perkataan asas dalam akidah Islam sedang berlaku di peringkat antarabangsa. Sesiapa yang mengikuti perkembangan aliran pemikiran akan memahami hal ini. Dahulu, kalimat jihad dianggap sebagai ganas sehingga ramai yang takut menyebutnya. Bahkan dituduh pelampau dan pengganas sesiapa yang menggunakannya.

Hari ini perkataan ‘kafir, syirik, murtad, Islam agama yang benar, syurga untuk mukmin dan seumpamanya dianggap sebagai liar dan merosakkan masyarakat. Kempen agar percaya semua agama nilainya sama di sisi Allah giat dilaksanakan di pelbagai peringkat di dunia ini.

Tidak mustahil akan tiba masanya nanti, semua perkataan itu diharamkan di tempat-tempat rasmi, pejabat kerajaan, sekolah, tempat awam dan lain-lain. Konteks akademik dan klasifikasi akidah juga akan ditolak. Maka, masyarakat muslim yang sedar tentang hal ini mempunyai alasan untuk bimbang dengan isu ini.

Video yang tersebar di Malaysia tentang isu ini membabitkan pihak yang menguruskan politik negara dan pendidikan secara langsung. Latar pengucapnya seorang yang memahami pengaruh perkataan terhadap makna dan undang-undang. Ungkapan yang digunakan haram perkataan kafir di rumah. Kemudian percakapan selepas itu berkaitan dengan undi.

Jika beliau menyebut pengharaman itu di jalan atau di sekolah atau di tempat awam dan anaknya pula ada kecenderungan memanggil orang bukan muslim ‘kafir’, bolehlah cuba difahami maksudnya. Itupun ganjil kerana ia bukan tabiat masyarakat muslim Malaysia demikian. Namun, apabila disebutkan ‘di rumah’, maka amat pelik, apakah ada kecenderungan dalam keluarga memanggil sesama sendiri ‘kafir’?!

Ada yang cuba mempertahankan dengan menyatakan ia sama dengan ibu bapa mengharamkan perkataan babi atau celaka di rumah. Itu bukan bererti mengharamkan ayat al-Quran. Itu kias yang jauh. Perkataan ‘babi’ atau ‘celaka’ biasa digunakan oleh anak-anak yang tiada asuhan baik sebagai kalimat untuk memaki hamun. Soalannya, apakah perkataan ‘kafir’ menjadi perkataan maki hamun dalam sesebuah sehingga perlu diharamkan sebutannya?! Ganjil benar jika ada keluarga yang demikian rupa. Dalam keluarga muslim, kalimah ‘kafir’ itu biasanya digunakan bagi menerangkan perkara akidah dan maksud ayat al-Quran dan hadis.

Melarang menggunakan perkataan kafir secara salah, sangat berbeza dengan mengharamkan perkataan itu disebut. Jika seseorang yang tiada pendidikan atau bolos kehidupannya, mungkin boleh diagak keceluparan itu. Namun, seseorang yang berstatus ‘menteri’ amat menggusarkan apatah lagi di masa dia memegang pendidikan negara.

Ada yang menyatakan video itu tidak lengkap. Jika benar dakwaan itu, maka, sila tunjukkan yang lengkap untuk rakyat faham. Dibimbangi jika yang lengkap ditunjukkan, banyak lagi hal lain yang muncul. Jawapan beliau dalam isu ini amat ganjil.

Kenapa hal ini hendak dihalusi? Jawapannya, kerana kedudukannya dalam polisi pendidikan negara kita. Kebingungan kita kadang-kala untuk memahami beberapa isu seperti mengapa ada hal-hal yang membabitkan umat Islam kelihatan bermasalah (seperti ucapan beliau di Parlimen berhubung takbir dan qunut nazilah) kononnya bagi menjaga sensitiviti semua pihak, tetapi untuk anak-anak bukan muslim makan di kantin terbuka diperjuangkan habis-habisan.

Tidakkah anak-anak bukan muslim juga perlu diajar menghormati adat dan budaya masyarakat majoriti di negara ini. Atas dasar menjaga sensitiviti semua, ajarlah mereka cara hidup dalam masyarakat majmuk. Selama ini tiada masalah pun perkara itu, tiba-tiba dimunculkan sebagai masalah. Apakah semua ini ada kaitan dengan cara fikir yang sedang dikandung?

Ada juga yang cuba menggunakan hujah kata-kata Dr. al-Qaradawi. Jika mereka memang membaca buku Dr. al-Qaradawi, perkataan ‘kafir, kufur, syirik, musyrik banyak sekali disebut dalam karya beliau. Apakah mereka hendak haramkan buku-buku al-Qaradawi di rumah mereka?! Apa yang al-Qaradawi sebut ialah konteks penggunaan bukan pengharaman perkataan. Jangan salahguna hujah!

Sikap sesetengah pihak yang melampau dalam beberapa isu seperti suka mengkafirkan, tidak menjadi lesen untuk diharamkan perkataan itu yang disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Bayangkan jika video itu tidak dikritik. Sudah banyak bulan ia beredar, tiada jawapan sekalipun beberapa pihak telah membantah. Setelah desakan kuat, barulah ditimbulkan kononnya ada konteks yang tersendiri. Itupun sangat ganjil. Maka, masyarakat muslim berhak membantah kerana ia boleh membawa maksud yang sangat salah. Ini termasuk al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar.

Penyelesaiannya, perbetulkan ucapan itu. Jangan sebut video tidak penuh, nanti masyarakat muslim akan minta video penuh. Bimbang, banyak hal lain mungkin akan timbul. Beritahu sahaja, ada kesilapan dalam ucapan tersebut.

Kepada para pembela beliau, isu ini bukan kritikan kepada kerajaan, tetapi kepada kesilapan individu dalam kerajaan. Jika kerajaan mempertahankan, maka barulah dinilaikan sebagai kesilapan kerajaan.

Akhirnya, negara ini memerlukan mereka yang berkelayakan menguruskan pendidikan negara. Pendidikan merangkumi anak-anak muslim dan bukan muslim. Bukan sensitiviti bukan muslim diambil kira, sensitiviti muslim juga perlu diambil kira. – (Dipetik Facebook Dr MAZA)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *