BERITA UTAMA

Penjawat awam dapat duit raya Jumaat ini – Wan Ahmad

PUTRAJAYA – Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2024 kepada penjawat awam yang layak akan dibayar Jumaat ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Dalam kenyataan menerusi surat edaran semalam, beliau berkata, RM500 akan diberikan kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat pada 5 April melibatkan pegawai lantikan Contract of Service (COS), pegawai sambilan harian serta pegawai lantikan MySTEP.

Manakala bayaran RM250 kepada pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

Menurut beliau, BKKA 2024 itu juga layak diterima oleh pegawai yang bercuti dengan bergaji penuh, bercuti separuh gaji dan bercuti tanpa gaji serta pegawai yang dipinjamkan, termasuk ke agensi yang diasingkan saraannya dengan BKKA ini dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai berkenaan.

“BKKA turut diberikan kepada pegawai lantikan MySTEP yang masih berkhidmat pada 5 April dan telah dilantik sebelum 5 April.

“Selain itu, guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Utama B dan ke atas serta Gred Khas A dan ke atas yang layak, tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya serta pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran serta Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman juga layak menerima BKKA 2024,” katanya.

Menurut surat edaran itu lagi, bayaran BKKA 2024 bagi pesara kerajaan termasuk yang bersara selepas mencapai opsyen umur persaraan atau bersara atas sebab kesihatan akan dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), manakala veteren berpencen dan tidak berpencen dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

“Veteran yang dilantik semula secara lantikan tetap, sementara serta COS dan masih berkhidmat pada 5 April, layak dibayar RM500 dengan bayaran RM250 oleh JPA atau JHEV dan baki RM250 dibayar oleh jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat,” menurutnya.

Bagaimanapun, bayaran BKKA 2024 tidak layak diberikan kepada pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku, dipinjam atau ditukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama atau Gred Khas.

Menurut surat edaran itu, pemberian BKKA 2024 adalah dikecualikan daripada cukai pendapatan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 127 (3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan BKKA RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah, di samping RM250 kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen. – BERNAMA

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *