Oleh Zulqarnain Lukman
SENGAJA sebut Muslim dan sengaja tidak sebut kafir atau kapir. Perkataan yang positif membawa impak yang positif. Perkataan yang negatif akan membawa impak yang negatif.
Mendengar perkataan Muslim terasa aura positifnya, manakala terdengar perkataan kafir itu terasa aura negatifnya. Itulah rukun alam tabie semula jadi atau disebut sunnatullah.
“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup”. (Ibrahim: 24-26).
Ini yang kita tidak fahami kenapa orang ramai termasuk Mufti Perlis terlalu obses untuk mempertikaikan boleh atau tidak menyebut perkataan kafir. Malah, ada pula pejuang parti Islam yang membuat lelucon menukar perkataan kafirin dalam surah Al-Kafirun kepada non-Muslim.
Ini semua perkara yang tidak perlu diperbahaskan. Jika benar pun Menteri Pendidikan mengharamkan perkataan kafir digunakan di rumahnya, apa pula yang kita menyibuk dengan rumah tangganya. Biarkanlah dia nak haramkan perkataan apa yang digunakan di rumahnya. Rumahnya adalah rumahnya, rumah kita adalah rumah kita.
Lebih afdal kita berbicara mengenai kembara Saudara Shi Xing Hua, 89 tahun yang berasal daripada Nanjing, China ke Malaysia, di mana beliau menemui hidayahnya di Malaysia. Malaysia ini bumi yang subur untuk dakwah. Tambahan lagi, kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai bangsa serta sifat bangsa Malaysia yang ramah tamah memudahkan lagi usaha dakwah.
Melaung-laungkan perkataan kafir @ kapir itu tidaklah membawa kebaikan, bahkan mungkin membawa kepada permusuhan dan salah faham terhadap Islam dalam konteks Malaysia sekarang.
Dalam masa yang sama, bagi orang yang membuat sendaan bahawa kelak perkataan kafirun dalam surah Al-Kafiruun itu akan ditukar kepada non-Muslim barangkali tidak pernah membaca tafsir atau sebab nuzul ayat tersebut.
Ayat tersebut diturunkan bukan sebab Nabi Muhammad SAW ingin mempersendakan golongan kafir Quraish ketika itu. Surah Al-Kafiruun adalah surat makkiyyah. Surah ini adalah tindak balas dan jawapan tegas terhadap tindakan orang musyrik yang telah mengajak Rasulullah SAW untuk mengadakan persefahaman, toleransi dan perdamaian dengan cara Baginda menyembah berhala selama setahun dan mereka pula akan menyembah Allah SWT setahun kemudian. Cadangan ini nampaknya sangat logik dan akan membawa kepada kedamaian dan perpaduan.
Namun, dengan turunnya surah ini, maka ianya adalah jawapan yang tegas bahawa cara beribadat kaum musyrik itu tidak akan sama dengan cara beribadat orang Islam. Ini kerana cara beribadat kepada Allah adalah dengan menyembah Allah yang esa dan tidak mempersekutukan atau menyamakan Allah dengan patung dan berhala yang dipuja. (Tafsir Mubin, Jilid 6, m/s 681-684).
Buya HAMKA pula menyebutkan bahawa pemuka quraish yang mendatangi Nabi SAW dan memberikan cadangan itu adalah Al-Walid bin Al-Mughirah, Al-‘Ash bin Wail, Al-Aswad bin Al-Muthalib dan Umayyah bin Khalaf. (Tafsir Al-Azhar, Juz 29-30, m/s 263)
Jadi, kesimpulannya adalah surah Al-Kafiruun ini bukanlah ditujukan kepada kepada semua orang yang belum memeluk Islam. Atau dalam kata lain, ayat ini bukanlah ditujukan kepada Ah Chong, Ramayana, Robert atau lain-lain. Tidak ada sebabnya untuk berjumpa dengan mana-mana orang bukan Islam lantas membacakan ayat ini kepada mereka. Ayat ini adalah jawapan kepada pemuka quraish yang mengajak untuk Nabi SAW untuk bertolak ansur dan berkompromi dari sudut akidah dan ibadat.
Manakala, apa yang disebut oleh Menteri Pendidikan itu bukanlah satu perkara yang menyentuh akidah atau ibadat, tetapi lebih kepada akhlak di dalam rumahnya bagi mengajar anak-anaknya berinteraksi dengan lebih baik kepada masyarakat Malaysia yang pelbagai.
Ingatlah, satu perkataan yang baik itu ibarat pokok yang berakar tunjang dan pucuknya tumbuh ke langit dan sentiasa berbuah. Perkataan yang buruk pula seperti pokok yang tidak berguna dan mudah tercabut akarnya. Wallahualam. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!