BERITA UTAMA

Komuniti antarabangsa mesti desak AS henti bekal senjata kepada Israel

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengutuk keras Amerika Syarikat (AS) kerana walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) meluluskan resolusi gencatan senjata serta-merta dan berkekalan serta Mahkamah Dunia (ICJ) menggesa langkah untuk Israel menghentikan jenayah genosid, AS tetap bersetuju untuk terus membantu pakej senjata baharu bernilai USD2.5 bilion kepada Israel di tengah-tengah perang Gaza yang berterusan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menyatakan, kecaman keras NGO itu terhadap keputusan AS yang memberi lampu hijau kepada pemindahan pakej senjata baharu melibatkan bom dan jet pejuang ke Israel.

“Walaupun menyatakan kebimbangan mengenai korban awam di Gaza, pakej senjata Rumah Putih itu termasuk lebih 1,800 bom MK84 seberat 2,000 paun (900 kilogram) dan 500 bom MK82 500 paun (225 kilogram) akan dihantar ke Israel untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza.

Bom seberat 2,000 paun, yang boleh menyebabkan kerosakan sehingga 1,000 kaki (300 meter) jaraknya, telah dikaitkan dengan korban besar-besaran sebelumnya sepanjang kempen ketenteraan Israel di Gaza.

“Walaupun UNSC dan ICJ gagal memastikan Israel menghormati keputusan dua agensi dunia itu, AS jelas menunjukkan percanggahan.

“Di satu sudut menyatakan kebimbangan terhadap pembunuhan besar-besaran oleh Israel, tetapi di sudut lain masih meningkatkan bekalan senjatanya kepada Israel dari Rumah Putih.

“Presiden Joe Biden mencerminkan gambaran kepura-puraannya dalam sikap berkecuali terhadap resolusi di UNSC. Dia memutuskan untuk terus melambakkan bekalan senjata tentera yang paling canggih kepada Israel untuk membunuh dan menghancurkan bangunan serta manusia serta-merta di Gaza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

AS telah mengesahkan terlibat sepenuhnya dengan pembunuhan beramai-ramai kejam Israel di Gaza.

AS bertegas untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan melindungi orang awam, namun ia adalah hanya menutup tindakan jenayah berterusan yang dilakukan oleh sekutunya, Israel.

PBB mesti mengambil langkah radikal untuk menghalang AS daripada pemindahan senjata kepada Israel dengan menggerakkan peraturan pengharaman sepenuhnya bekalan senjata kepada zionis.

Bantuan kemanusiaan nampaknya dihadkan, tetapi AS membenarkan kemasukan secara bebas senjata kepada Israel untuk menyembelih warga Gaza.

“Israel mesti dipaksa menamatkan malapetaka itu. Biden adalah seorang munafik. Dia kini tidak lebih daripada seorang presiden penjenayah AS. Dengan pentadbirannya tunduk kepada jenayah perang Israel, dia sebenarnya turut menjadi penjenayah perang sepenuhnya.

“Dunia boleh membuat kesimpulan AS telah kehilangan kuasa moralnya apabila ia terus menghantar bantuannya yang tidak terhalang kepada Israel.

“Biden mengetahui sepenuhnya undang-undang Leahy, iaitu merujuk kepada undang-undang hak asasi manusia AS yang menghalang AS daripada membekalkan senjata kepada negara yang mungkin terlibat dalam penyalahgunaan hak,” ujarnya. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *