BERITA UTAMA

Amanah mengambil pendirian tidak boikot KK Mart

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan keputusan Pemuda UMNO mengajak orang ramai memboikot kedai serbaneka KK Mart sebagai perbuatan gelojoh.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad menegaskan, parti itu berpendirian tidak akan bersama dengan gerakan memboikot rantaian kedai berkenaan susulan kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Kata beliau, gelojoh dan emosi tanpa usul periksa menyebabkan kemarahan dituju kepada pemilik rantaian kedai berkenaan sehingga berlaku insiden tidak diingini seperti serangan bom api.

Khalid juga menegur individu yang hendak menjadi ‘juara’ tanpa mengambil peduli sama ada tindakan dan hasutan itu adil atau sebaliknya. 

“Semua berpaksikan emosi dan pendekatan gelojoh tanpa usul periksa.

“Ini hanya menguntungkan pelaku sebenar kerana matlamatnya adalah untuk menghasilkan ketegangan dan huru-hara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perkembangan itu hadir susulan dua kejadian serangan menggunakan molotov cocktail di mana yang terbaharu berlaku di Kuantan, Pahang kelmarin dan serangan pertama di Bidor, Perak pada 26 Mac lalu.

Kejadian dipercayai berpunca daripada isu penjualan stoking tertera kalimah Allah hingga suspek melakukan perbuatan khianat.

Mengulas lanjut Khalid berkata, Amanah akan sentiasa bertindak berpaksikan prinsip keadilan, tabayyun dan siasat terlebih dahulu dan tidak akan bertindak secara gelojoh tanpa usul periksa atau dipandu emosi semata-mata.

Kata bekas ahli Parlimen Shah Alam itu, Al-Quran mengajar kita untuk “tabayyun” terlebih dahulu supaya tidak akan berlakunya tindakan terlajak sehingga menzalimi pihak yang tidak bersalah.

Khalid merumuskan bahawa matlamat sebenar dalang di sebalik insiden tersebut adalah untuk mengeruhkan lagi suasana politik negara dengan drama “Islam terancam dan tidak dihormati” serta hubungan antara kaum dan agama dijadikan semakin tegang.

“Keadaan sebegitu akan menguntungkan pihak tertentu kerana persepsi “Islam terancam” dan ketegangan kaum serta agama adalah suatu kelebihan pada mereka.

“Malangnya apa yang dilihat sedang berlaku sekarang adalah reaksi beremosi tanpa adanya satu usaha untuk menganalisa keadaan dan kemungkinan-kemungkinan di sebalik peristiwa ini.” ujarnya.

Dalam pada itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah berkata, adalah lebih baik jika insiden yang berlaku disiasat terlebih dahulu sebelum menghukum.

“Kami ingin menasihati semua, khususnya umat Islam dan orang Melayu, supaya jangan mudah terpengaruh dengan apa yang kemungkinan besar adalah mainan jahat golongan yang berkepentingan atau berniat jahat,” katanya lagi. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *