BERITA UTAMA

Lebih 2 juta pekerja asing dalam negara, hampiri sasaran RMK12 – Steven Sim

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu jumlah bilangan pekerja asing dalam negara ini telah menghampiri sasaran ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan menetapkan bilangan pekerja asing di Malaysia tidak boleh melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang tahun 2025.

“Sehingga 15 Mac 2024, berlandaskan kepada rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), jumlah pekerja asing yang bekerja dalam negara adalah 2,171,798 orang.

“Buat masa ini, kerajaan masih mengekalkan keputusannya untuk membekukan kelulusan kuota baharu kerana bilangan pekerja asing dalam negara telah menghampiri sasaran ditetapkan di bawah RMK12,” katanya dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika pertanyaan bagi jawab lisan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai status kekurangan pekerja asing, jumlah yang masih diperlukan dan usaha dijalankan bagi mengatasi masalah berbangkit.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, kerajaan juga masih dalam proses memuktamadkan saringan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK) seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Sebarang keputusan berkenaan pembukaan semula kuota pekerja asing akan ditetapkan setelah kerajaan mendapat perincian penuh berkaitan jumlah kuota pekerja asing yang belum memasuki negara sebelum atau pada 31 Mei 2024 dan hasil program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang akan berakhir prosesnya pada Jun 2024,” ujar beliau.

Sementara itu, Steven Sim berkata, berdasarkan dapatan diperoleh daripada Agensi Kawal Selia mengikut sektor, anggaran tenaga kerja diperlukan adalah 308,570.

Ujarnya, kuota baharu hanya akan dipertimbangkan dengan mengambil kira baki kuota masih ada daripada unjuran 15 peratus tenaga kerja selepas pengemaskinian jumlah kuota pekerja asing aktif dan RTK 2.0.

“Baki kuota yang tinggal akan disalurkan kepada sektor atau sub sektor kritikal dan mempunyai impak tinggi kepada hasil ekonomi negara,” jelasnya.

Steven Sim berkata, pada 16 Januari 2024, satu proses memudah cara penggajian pekerja asing secara sistematik dan proses kemasukan yang mudah serta cepat, di mana tempoh masa permohonan kuota sehingga kemasukan pekerja telah dikurangkan dari 29 bulan kepada 15 bulan juga disediakan. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

 Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *