Negara kita Malaysia mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Pada masa itu, Pak Long di bangku sekolah rendah. Sebagai sebuah negara yang baru saja merdeka pada tahun itu, Malaysia yang masih lagi ‘bayi’ terpaksa bergelut dan berhempas pulas untuk mengisi nikmat kemerdekaan. Anak-anak pascamerdeka yang membesar dan bersekolah dalam tahun-tahun 60-an termasuk Pak Long telah menghadapi cabaran, merasakan keperihan dan kenal betapa sukar dan mencabarnya kehidupan ketika itu. Pendek kata, generasi baru zaman merdeka mengalami sendiri kehidupan yang serba kekurangan.
Sebagai seorang anak negara yang baru merdeka, Pak Long juga mengalami pelbagai kekurangan hidup – sesuatu yang boleh dikatakan ‘biasa’ ketika itu. Kampung-kampung tradisional walaupun di pinggir bandar belum ada kemudahan asas seperti bekalan air paip atau bekalan elektrik. Jalan beraspal licin terlalu mewah untuk dimimpikan – sementara jalan tanah merah dalam kampung, dikategorikan sebagai satu nikmat pembangunan. Sungguhpun begitu, penduduk kampung sentiasa berharap nikmat pembangunan akan dikecapi secepat mungkin.
Sebagai seorang anak sekolah rendah zaman tahun 60-an, pengalaman Pak Long ‘mengaji’ atau belajar membaca al-Quran termasuk di dalam senarai cabaran zaman awal merdeka. Ketika itu kemudahan dan prasarana untuk ‘mengaji’ tidaklah semudah, bercambahan dan secanggih seperti zaman ini. Sebenarnya keadaan zaman dulu-dulu tidak dapat dibandingkan dengan zaman digital IT sekarang ini kerana jurang perbezaannya seperti langit dengan bumi. Anak-anak zaman ini sangat beruntung berbanding Pak Long dan rakan-rakan sezaman Pak Long. Kecanggihan dunia digital zaman sekarang membuat cara, kaedah dan kelajuan pembelajaran termasuk ‘mengaji’ sangat berbeza.
Bagi Pak Long biar apa pun kesukaran dan cabarannya, Pak Long cukup bertuah kerana dapat belajar mengenali Quran; satu fasa kehidupan yang begitu penting dan berharga sekali. Fasa ini penting kerana dari situlah Pak Long belajar mengenali alif, ba, ta atau di mana bacaan panjang-pendeknya bacaan, atau di mana ada dengungnya walaupun Pak Long dan kawan-kawan tidak pernah dijelaskan tentang hukum tajwid secara langsung. Dan Pak Long sangat bersyukur kerana arwah emak Pak Long benar-benar berazam anaknya mestilah ‘pandai dan khatam Quran’. (al-fatihah untuk arwah emak, Esah binti Buyong.)
Guru Quran pertama Pak Long ialah arwah Lebai Saad, satu sosok istimewa bagi Pak Long kerana beliaulah yang menjadi kunci sehingga membolehkan Pak Long membuka pintu al-Quran. Tidak dapat dinafikan, hati Pak Long sentiasa gementar setiap kali berdepan dengan arwah. Masakan tidak, cara mengajarnya memang garang – rotan kecil sentiasa di tangan walaupun Pak Long tidak pernah melihat ia digunakan dan suaranya pula keras semasa menegur kesalahan membaca. Dan pada satu hari, Pak Long dan emak menerima sebuah berita duka; berita bahwa Lebai Saad dan keluarga akan berpindah dari kampung kami. Sebagai seorang anak yang mula timbul minat untuk mengaji dengan bersungguh-sungguh, berita perpindahan arwah Lebai itu diterima dengan sedih sekali. Dalam hati tertanya-tanya kenapakah Lebai Saad dan keluarga harus berpindah dari kampung kami. Sesungguhnya perpindahan itu telah memberikan impak yang agak besar; maka tidak sempatlah Pak Long khatam al-Quran di bawah bimbingan arwah. Sebelum beliau berpindah, Pak Long sempat menemui arwah buat kali terakhir. Bagi Pak Long itu satu perpisahan yang tidak diingini. Dengan perasaan penuh hiba Pak Long menghulur tangan untuk bersalaman, mencium tangan dan memeluk tubuh Lebai Saad, erat-erat. Hanya Allah yang ketahui perasaan Pak Long ketika itu.
Setelah Lebai Saad tiada lagi di kampung kami, arwah emak telah mengatur supaya Pak Long sambung ‘mengaji’ di kampung seberang kerana di sana terdapat seorang guru Quran. Dengan guru kedua inilah Pak Long berjaya khatam bacaan Quran. Pak Long berterima kasih dengan arwah emak yang mengambil berat dan peduli anaknya mestilah belajar membaca al Quran sehingga khatam.
Pengalaman ‘mengaji’ zaman dulu-dulu kadang-kadang diiringi dengan tugasan-tugasan sampingan – unik dan tentunya – tidak terdapat lagi pada zaman ini. Sebagai contoh, selepas sesi mengaji, Pak Long dan rakan-rakan diminta oleh Tok Guru untuk membantunya mengangkut air perigi buat mengisi tempayan di tepi tangga. Ada kalanya kami diminta untuk membantunya mengangkut kayu api. Pada zaman itu, tak ada anak murid yang marah-marah atau pun mencuri tulang, apatah lagi ada kejadian ibu bapa datang menyerang kerana anak-anak mereka telah ‘dipaksa’ untuk membuat kerja berat! Sesungguhnya tugasan-tugasan sampingan yang dilakasanakan dengan senang hati dan penuh kerelaan oleh Pak Long dan rakan-rakan menunjukkan tanda terima kasih kami kepada sang guru dan sebagai doa supaya diberikan keberkatan dalam menimba ilmu.
Bagi Pak Long cara dan kaedah mengajar Tok Guru yang garang memang memastikan Pak Long dan rakan-rakan lebih bersungguh-sungguh semasa ‘mengaji’ untuk menguasai bacaan al-Quran. Pak Long tertanya-tanya masihkah wujudkah kaedah seperti itu di zaman ini atau sesuai lagikah kaedah seperti itu dengan generasi hari ini? Pak Long yakin seorang anak murid harus berterima kasih pada sang guru dengan apa cara sekali pun, sementara ibu bapa pula sentiasa membenarkan anak-anak mereka ditegur jika mereka membuat kesalahan. Sesungguhnya sikap begini akan mencambahkan benih-benih kemanusiaan untuk kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.
‘Selamat Berpuasa’ dan salam kemanusiaan untuk kita semua.