BERITA UTAMA

Isu stoking: Di mana garis batasannya, soal Zaid

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim kesal dan kecewa kerana meningkatnya naratif perkauman dalam isu penjualan stoking dengan kalimah Allah.

Menerusi ciapan di X, bekas Presiden Parti KITA itu berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya menggunakan nama Tuhan untuk melanggar undang-undang, mencetuskan kebencian dan merosakkan perniagaan.

“Kemarahan anda perlu ada batasan. Pertama, anda minta peniaga Cina memohon maaf, dan mereka melakukannya.

“Kemudian, anda tarik balik lesen kilang dan kini mereka tidak beroperasi lagi. Kemudian anda kata boikot akan diteruskan,” katanya merujuk pendirian lantang Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh berkenaan kontroversi itu.

Memetik Malaysia Kini, Dr. Akmal menjadi individu paling lantang dalam menggesa boikot ke atas KK Mart – di mana stoking itu ditemui – pendiriannya itu mendapat sokongan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Sampai tahap mana anda baru akan puas hati?,” soal Zaid sambil menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam isu tersebut.

“Mereka (kerajaan) perlu lulus ujian kemunasabahan. Katakan mereka gagal? Biarlah pihak yang lulus untuk mentadbir.”

Kata Zaid lagi, sikap “rasis dan taksub” UMNO tidak boleh dibiarkan menunjuk wajahnya atas nama mempertahankan Tuhan dan agama.

“Mujurlah, kita ada segelintir orang Melayu yang beri harapan kepada saya bahawa bukan semua orang Melayu gila.

“Namun, suara-suara kecil ini tak akan selamatkan negara ini. Kita diberitahu yang Anwar akan selama-lamanya mengubah landskap politik dan meletakkan negara di hala tuju yang betul. Saya harap begitu. Jika begitu, bila masa yang sesuai, dia perlu beritahu UMNO ada garis batasan yang mereka tak boleh langkaui.

“Saya serahkan kepada perdana menteri untuk putuskan bila (untuk melakukannya). Namun dia perlu berdepan dengan amuk UMNO. Jika tidak, apa nilai Madani kepada rakyat di negara ini?,” soalnya lagi. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *