BERITA UTAMA

Model sambilan didakwa bunuh kekasih

KUALA LANGAT – Seorang model sambilan dihadap ke mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh teman lelakinya.

Tertuduh, A Tamilselvi, 26, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Maslinda Selamat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju lokap ungu, memandangkan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, A Tamilselvi didakwa telah membunuh V Gawsigan, 26, di sebuah unit kediaman Rimbayu Perennia Jalan Flora 3D/6, di Telok Panglima Garang, Kuala Langat sekitar jam 5.30 pagi 11 Mac lalu.

Bekas pelajar perubatan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Ethan Tan yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya itu dirujuk ke hospital bagi membuat pemeriksaan mental.

“Saya difahamkan anak guam saya ada ‘bipolar disorder’ (BPD), malah dia juga seperti tidak dapat memahami apabila saya menjelaskan kepadanya berhubung hari kejadian.

“Tertuduh juga mempunyai masalah penyakit jantung dan dia memerlukan bantuan bateri untuk denyutan jantungnya,” katanya dipetik Sinar Harian.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Khadijah Amir Hamzah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu termasuk dalam peruntukan tidak boleh dijamin.

Katanya, tiada sebarang dokumen dikemukakan oleh pihak pembelaan bagi mengesahkan penyakit BPD dan penyakit jantung yang dialami oleh tertuduh.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Maslinda menolak permohonan pihak pembelaan itu.

“Peguam perlu kemukakan dokumen berkaitan kesihatan mental dan fizikal tertuduh pada tarikh sebutan akan datang,” katanya.

Mahkamah menetapkan 25 April ini untuk tarikh sebutan semula kes dan laporan toksikologi, bedah siasat, kimia serta perubatan.

Pada Selasa, media melaporkan seorang lelaki maut dipercayai ditikam kekasihnya yang merupakan seorang model sambilan.

Difahamkan, punca kejadian dikatakan bermotifkan cemburu kerana mangsa yang merupakan jurufoto sambilan telah curang.

Suspek kemudian diberkas anggota polis sekitar kawasan Hospital Cyberjaya pada jam 12.30 tengah hari, selepas membawa kekasihnya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Doktor itu kemudiannya memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa, namun tiada sebarang tindak balas. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *