BERITA UTAMA

DAP sudah bertemu Presiden UMNO berhubung kenyataan Dr. Akmal

PUTRAJAYA – DAP sudah mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh yang membidas KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengesahkan beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid berhubung perkara itu.

Ditanya mengenai butiran perbincangan, Loke bagaimanapun enggan mengulas.

“Saya sudah jumpa dan itu antara kita dan Ahmad Zahid,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini, yang dipetik Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan Loke sudah menyatakan pandangan DAP kepada Ahmad Zahid ketika majlis berbuka puasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama pemimpin Kerajaan Perpaduan dan perwakilan asing di Istana Negara, Isnin lalu.

Sehari selepas itu, Loke berkata, DAP tidak bersetuju dengan pendekatan dilakukan Dr Akmal kerana KK Mart telah mengemukakan permohonan maaf serta mengakui kesilapan mereka.

“Permohonan maaf itu sudah dibuat, sepatutnya kita menyelesaikan isu itu dengan baik dan membina jambatan. Kita berasakan bahawa dalam isu sensitif ini perlu ditangani dengan berhemah,” katanya.

Dr. Akmal sebaliknya menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan mana-mana pandangan pemimpin bukan Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Malah Dr. Akmal menggesa agar memboikot premis kedai berkenaan.

Pada 13 Mac, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *