HARI ini pada tahun ke-3 sebelum Hijrah, Saidatina Khadijah binti Khuwaylid RA meninggal dunia.
Khadijah RA dilahirkan dalam keluarga bangsawan di Mekah, seorang wanita yang rajin, pintar dan gigih membantu perniagaan keluarganya. Apabila bapanya meninggal dunia, beliau mengambil alih dan mengembangkannya lagi menjadi lebih maju.
Ketika berusia 40 tahun, Khadijah RA menjadi ahli perniagaan yang disegani dan ramai yang mahu bekerja dengannya. Namun beliau memilih seorang pemuda yang tekun dan jujur bernama Muhammad bin Abdullah SAW untuk membantu menguruskan bisnesnya.
Lama-kelamaan, Khadijah RA jatuh hati dengan keikhlasan dan keluhuran budi Rasulullah SAW yang ketika itu berusia 25 tahun. Lantas beliau melamar Baginda, mereka berdua mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tujuh cahaya mata.
Rasulullah SAW terus membantu isterinya selama 15 tahun berdagang di serata tanah Arab. Sehinggalah segalanya berubah apabila Baginda mencapai usia 40 tahun, Baginda mendapat wahyu pertama untuk menjadi pemimpin umat manusia.
Ketika Rasulullah SAW menggigil ketakutan di katilnya selepas dipeluk malaikat Jibril AS di Gua Hira’, Khadijah RA yang menenangkan Baginda dan meyakinkan suaminya itu bahawa ia adalah khabar gembira dari Tuhan yang tak perlu ditakutkan.
Khadijah RA menjadi insan pertama yang memeluk Islam dan menggalakkan Rasulullah SAW supaya meninggalkan kerjanya untuk berdakwah sepenuh masa. Beliaulah tulang belakang dan penguat Rasulullah SAW berdepan pelbagai dugaan semasa peringkat awal dakwahnya.
Beliau mengorbankan seluruh hartanya untuk membiayai perjuangan suaminya ke jalan Allah. Namun pada masa sama, kesihatannya juga semakin merosot. Pada usia 65 tahun, Khadijah RA menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Tahun pemergian Khadijah RA itu digelar sebagai ‘Tahun Duka’ kerana bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Talib juga meninggal dunia sebulan sebelumnya. Khadijah RA dikebumikan di Tanah Perkuburan Jannatul Mu’alla. – NasionalDaily
Gambar: Makam Saidatina Khadijah RA (kanan) dan anakandanya al-Qasim (kiri) di perkuburan al-Mu’alla, Mekah.
Sumber: Islamic House of Wisdom, Al-Furqan Islamic Heritage Foundation
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!