BERITA UTAMA

Perbincangan peruntukan ahli pembangkang dibuat dalam masa terdekat

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengadakan perbincangan dengan wakil pembangkang berhubung permohonan peruntukan di kawasan masing-masing dalam masa terdekat.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu depan.

“Saya kena bertemu dengan Ketua Whip Pembangkang (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dahulu, kena bincang. Kemudian, akan dapat arahan daripada Kabinet dan kalau perlu perbincangan lanjut maka kita akan bentuk pasukan untuk membuat perundingan. 

“Mungkin minggu depan (akan dibawa ke mesyuarat Kabinet), insya-Allah. Saya kena jumpa semua dahulu,” katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama warga kementerian di sini malam tadi.

Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pertemuannya dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Whip Pembangkang Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di pejabatnya pada Selasa.

Beliau berkata pertemuan yang berlangsung itu akan membincangkan mengenai pelbagai perkara termasuklah isu berkaitan peruntukan. 

“Itu hanya majlis pertemuan, macam-macam dibincangkan, (peruntukan) satu daripadanya,” katanya.

Ahad lepas, media melaporkan Hamzah serta wakil parti pembangkang telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan ke minggu hadapan. 

Pada Titah Diraja bersempena dengan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2024 di Istana Negara semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua bandar di 13 negeri seluruh Malaysia.

Seri Paduka Baginda bertitah sekiranya semua negeri dapat dibangunkan bersama, penghijrahan penduduk ke pusat bandar raya dapat dikurangkan dan kesesakan akan lebih terkawal.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Fadillah turut menyantuni 36 anak yatim berusia tujuh hingga 12 tahun daripada Persatuan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah, Sepang, Selangor.

Beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim itu dan warga kementerian daripada kumpulan pelaksana. – BERNAMA

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *