SEOUL/TOKYO – Kementerian Luar Korea Selatan hari ini, mengesahkan dua rakyat negara itu maut dalam insiden kapal tangki kimia terbalik di perairan barat Jepun, semalam.
Seramai 11 kru dilaporkan berada di atas kapal terbabit, Keoyoung Sun, ketika kejadian berlaku di perairan berhampiran pulau di bandar Shimonoseki di wilayah Yamaguchi.
Mereka terdiri daripada dua warga Korea Selatan termasuk kapten, lapan warga Indonesia dan seorang warga China, lapor Agensi Berita Yonhap.
Terdahulu, Pengawal Pantai Jepun berkata, sembilan kru berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital, tetapi lapan daripada mereka meninggal dunia, termasuk seorang warga Korea Selatan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi kru yang hilang, termasuk seorang warga Korea Selatan, kemudian diteruskan oleh pihak berkuasa Jepun.
Hari ini, seorang pegawai Kementerian Luar di Seoul mengesahkan kematian warga Korea Selatan yang hilang itu.
Agensi Berita Kyodo memetik pegawai Pengawal Pantai Jepun pula melaporkan seorang daripada dua kru kapal yang hilang itu telah ditemukan.
Anak kapal dari Indonesia itu disahkan selamat dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kapal Keoyoung Sun yang membawa 980 tan asid akrilik, berlepas dari Pelabuhan Himeji di Jepun pada Isnin lalu menuju ke Pelabuhan Ulsan di tenggara Korea Selatan.
Kapal itu membuat panggilan kecemasan sekitar jam 7 pagi dengan kru melaporkan kapal berada dalam kedudukan condong sebelum terbalik kira-kira jam 8 pagi.
Tiada kebocoran bahan kimia dilaporkan dikesan, setakat ini. – BERNAMA-YONHAP
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!