Memperkasa Pelajar Melalui Pendidikan Dan Keprihatinan Sosial

Oleh: Profesor Madya Dr. Nor Aniza Ahmad

PENDIDIKAN tinggi merupakan antara instrumen terpenting dalam meningkatkan mobiliti sosial, memperluas peluang ekonomi dan mengubah kehidupan seseorang individu serta keluarganya.

Namun, bagi pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, perjalanan menuju kejayaan akademik bukan sekadar memerlukan kecemerlangan intelektual, malah menuntut ketahanan psikologi, sokongan sosial, daya tahan diri dan keupayaan menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.

Di sebalik kejayaan seseorang pelajar melangkah masuk ke universiti, terdapat kisah perjuangan yang mungkin terlepas pandang.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Mereka terpaksa berjimat untuk menampung perbelanjaan harian, menghadapi kesukaran pengangkutan dan mengurus tuntutan pembelajaran kerana sumber kewangan terhad.

Persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana institusi pendidikan tinggi dan komuniti menyediakan ekosistem sokongan yang membolehkan pelajar meneruskan pengajian tanpa dibelenggu tekanan kehidupan yang berlebihan.

Tiga motosikal menyokong harapan

Baru-baru ini, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima kunjungan delegasi Yayasan Belia Malaysia (YBM) diketuai Dato’ Mustapa Haji Othman sempena majlis penyerahan motosikal kepada pelajar asnaf. Penulis turut hadir bagi mewakili fakulti berkenaan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Majlis itu merupakan inisiatif kebajikan yang mencerminkan keprihatinan YBM membantu pelajar daripada keluarga asnaf meneruskan pengajian dengan lebih selesa.

Usaha itu mencerminkan kerjasama rakan strategik di antara YBM dan UPM dalam memperkasa pendidikan dan kebajikan pelajar, khususnya golongan yang berdepan cabaran sosioekonomi.

Kerjasama ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen bersama dalam menyediakan sokongan kepada pelajar yang memerlukan, malah membuka ruang kepada usaha berterusan untuk memperkukuh akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif, saksama dan berorientasikan pembangunan modal insan.

Tiga penerima bantuan tersebut ialah Nur Nisa Najihah binti Shahrul Azam, pelajar Bacelor Pendidikan Sains Rumah Tangga; Wan Irfan Hakim bin Wan Ismail, pelajar Bacelor Pendidikan Sains Pertanian; dan Nur Amirah Diha binti Kamsaini, pelajar Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dengan Kepujian.

Kepada sesetengah pelajar, sebuah motosikal mungkin dianggap sebagai kemudahan biasa. Namun, bagi mereka bantuan tersebut berpotensi memberikan perubahan besar terhadap pengurusan masa, perbelanjaan dan rutin pembelajaran.

Kemudahan itu membolehkan mereka menghadiri kuliah, mengakses kemudahan universiti dan melaksanakan tugasan akademik dengan lebih teratur.

Malah, dapat membantu mereka memberikan tumpuan kepada matlamat utama, iaitu mencapai kecemerlangan dalam pengajian.

Sumbangan itu membuktikan bahawa bantuan pendidikan tidak semestinya berbentuk biasiswa atau pembiayaan yuran semata-mata.

Bantuan bukan kewangan yang memenuhi keperluan sebenar pelajar juga merupakan komponen penting dalam menyokong kelangsungan pendidikan tinggi.

Komitmen pembangunan belia

Penglibatan YBM dalam inisiatif bantuan pengangkutan mencerminkan pendekatan sokongan praktikal terhadap pembangunan belia di negara ini.

Menurut Dato’ Mustapa, YBM menerusi salah satu aktivitinya dalam Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur 2.0 bersama Yayasan Waqaf Malaysia, CIMB Islamic Bank Berhad dan rakan pelaksana lain telah menyerahkan 32 buah motosikal kepada peserta terpilih daripada golongan B40 dan asnaf bagi membantu mereka menjana pendapatan melalui aktiviti penghantaran makanan.

Inisiatif berkenaan memperlihatkan bagaimana kemudahan pengangkutan boleh menjadi instrumen pemerkasaan ekonomi khususnya belia.

Dalam konteks pendidikan tinggi pula, bantuan yang sama berpotensi meningkatkan akses pembelajaran dan membantu pelajar membina masa depan yang lebih baik.

Pendekatan sebegini menunjukkan bahawa pembangunan belia memerlukan sokongan yang bukan sahaja bersifat kebajikan, tetapi turut memperkukuh keupayaan individu untuk berdikari dan mencapai potensi sebenar.

Memperkukuh kesejahteraan psikologi

Daripada perspektif psikologi, nilai sesuatu bantuan tidak seharusnya diukur berdasarkan aspek material semata-mata.

Sokongan sosial merupakan antara faktor penting yang dapat mempengaruhi motivasi, keyakinan diri dan kesejahteraan psikologi pelajar.

Apabila seseorang pelajar menerima bantuan ketika berhadapan kesukaran, mereka bukan sahaja memperoleh kemudahan yang diperlukan, malah berpotensi merasakan bahawa kehidupan dan masa depan mereka mendapat perhatian serta sokongan masyarakat.

Menurut Teori Penentuan Kendiri oleh Deci dan Ryan (2000), motivasi individu dapat diperkukuh apabila tiga keperluan psikologi asas dipenuhi, iaitu autonomi, kompetensi dan keterhubungan sosial.

Dalam konteks bantuan motosikal, kemudahan pengangkutan berpotensi meningkatkan autonomi pelajar untuk mengurus pergerakan dan aktiviti akademik secara lebih berdikari.

Pada masa yang sama, pengurangan halangan pembelajaran boleh membantu pelajar menggunakan keupayaan diri dengan lebih berkesan, manakala sokongan daripada institusi pendidikan dapat memperkukuh rasa keterhubungan sosial.

Dengan demikian, mereka berpeluang mengurus pembelajaran dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan tekanan harian serta meningkatkan tumpuan dan penglibatan akademik. Keadaan tersebut berpotensi memperkukuh efikasi kendiri, motivasi dan kesejahteraan psikologi.

Pendekatan holistik ini penting bagi melahirkan pelajar yang berdikari, berdaya tahan dan berkeyakinan dalam mencapai kecemerlangan.

Pembina generasi masa depan

Sumbangan motosikal oleh YBM kepada pelajar universiti itu mempunyai nilai yang lebih luas kerana penerimanya merupakan bakal guru dan pembimbing generasi akan datang.

Profesion pendidikan bukan sekadar menuntut penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran pedagogi, tetapi memerlukan empati, kepekaan sosial dan kefahaman terhadap kepelbagaian latar belakang murid.

Pengalaman menghadapi kesukaran hidup dan menerima sokongan masyarakat berpotensi membentuk keprihatinan bakal pendidik terhadap murid yang berhadapan cabaran serupa.

Apabila memasuki profesion perguruan kelak, pengalaman itu boleh membantu mereka memahami bahawa pencapaian akademik seseorang murid bukan sahaja dipengaruhi oleh kebolehan intelektual, tetapi keadaan keluarga, sokongan sosial dan peluang pembelajaran.

Membantu seorang bakal pendidik pada hari ini bermakna kita turut melabur dalam pembangunan generasi yang bakal menerima manfaat daripada ilmu dan khidmat baktinya pada masa hadapan.

Rakan strategik dan sokongan pelajar

Universiti harus bekerjasama dengan pihak industri dan organisasi masyarakat untuk membangunkan ekosistem sokongan pelajar yang lebih menyeluruh.

Inisiatif YBM bersama Fakulti Pengajian Pendidikan UPM memperlihatkan potensi kerjasama rakan strategik yang memberikan manfaat langsung kepada golongan sasaran. Namun, bantuan sedemikian boleh dilengkapi pendekatan institusi yang lebih sistematik.

Pertama, universiti perlu memperkukuh mekanisme pengesanan awal pelajar yang berisiko menghadapi kesukaran kewangan, pengangkutan atau penyesuaian kehidupan kampus.

Selain itu, kerjasama dengan organisasi luar perlu diperluas supaya bantuan kepada pelajar dapat dilaksanakan secara berterusan.

Setiap program bantuan pula wajar disertai penilaian impak bagi mengenal pasti perubahan terhadap kos pengangkutan, kehadiran kuliah, kesejahteraan psikologi dan pengalaman pembelajaran penerima.

Hal ini penting bagi memastikan bantuan bukan sekadar memberikan kelegaan sementara, tetapi mampu menyokong kelangsungan pengajian dan pembangunan pelajar.

Jelas bahawa, membantu seorang bakal guru pada hari ini bukan sekadar mengubah masa depan seorang pelajar, tetapi berpotensi memberikan impak berganda kepada ratusan bahkan ribuan murid yang bakal menerima didikannya, sekali gus menyumbang kepada pembangunan generasi dan masa depan negara.

Nilai sebenar tiga buah motosikal yang disumbangkan itu tidak hanya terletak pada harga atau kemudahan pengangkutan yang disediakan, tetapi pada peluang yang terbuka, harapan yang diperkukuh dan masa depan yang berpotensi berubah.

Prof. Madya Dr. Nor Aniza Ahmad ialah Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Antarabangsa), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Psikologi Pendidikan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *