BERITA UTAMA

Isteri Allahyarham Iskandar zahir ucapan terima kasih

KUALA LUMPUR – Isteri kepada Allahyarham Konstabel Iskandar Zulkarnain yang meninggal dunia dalam tragedi bot karam di Sungai Batang Baleh, Kapit, Sarawak pada 7 Mac lalu, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

Menyampaikan ucapan menerusi hantaran Facebooknya hari ini, Anis Nur Ezzati menzahirkan rasa syukur kerana urusan mencari dan menyelamat arwah suaminya pada hari pertama hilang berjalan lancar hingga penemuan mayatnya pada 15 Mac lalu.

“Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dari hari pertama suami saya Allahyarham Iskandar Zulkarnain hilang sehingga dia dijumpai dan setelah selesai dikebumikan pada Sabtu 16 Mac 2024.

“Ucapan terutamanya kepada warga Balai Polis Kapit, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Angkatan Pertahanan Awam (JPAM) dan warga PDRM seluruh Malaysia.

“Semua kawan-kawan arwah, saudara mara yang tak putus-putus mendoakan arwah dari jauh, tak dapat saya nak balas semua kebaikan kalian, hanya Allah lah yang selayak-layaknya,” katanya.

Dalam kejadian jam 5 petang 7 Mac lalu, bot yang dinaiki lima individu karam di Sungai Batang Baleh berdekatan jeti SK Lepong Baleh dengan seorang mangsa berjaya diselamatkan, manakala empat lagi termasuk dua anggota polis hilang dihanyutkan arus deras.

Ketika kejadian, kedua-dua anggota polis iaitu Sarjan Jonathan Lambet dan Iskandar dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit kerana mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram.

Menurut Anis, beliau tidak dapat menyebut satu persatu kerana terlalu ramai yang permudahkan urusan arwah suaminya.

Katanya, tidak pernah beliau sangka Allahyarham Iskandar akan diberi penghormatan terakhir sedemikian rupa dan cukup sempurna sekali.

“Tak tergambar dengan kata-kata betapa tenang rasa hati bila arwah diberi layanan yang cukup istimewa walaupun arwah telah tiada.

“Budi baik warga di Sarawak akan saya kenang hingga akhir hayat saya,” coretnya. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *