KUALA LUMPUR – Parti Putra mengecam tindakan Petronas menimbulkan kekecewaan dalam kalangan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkaitan pengagihan kontrak dan peluang perniagaan.
Parti itu memandang serius isu berkenaan kerana memberi kesan ekonomi ke atas perniagaan tempatan, selain terpalit dengan isu regulasi dan dasar yang mempengaruhi persekitaran perniagaan di Malaysia.
Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif dengan tegas mendesak Petronas mengadakan semula penilaian terhadap proses pengagihan kontrak dan tender dengan mengambil kira agenda ekonomi Bumiputera.
Kata beliau, agenda itu sepatutnya menjadi teras kepada semua pengagihan projek yang dilaksanakan mengikut kaedah terbaik, telus dan berintegriti, yang mana konsep sama rata bukan setakat B40, tetapi pembahagian kek ekonomi negara secara adil mengikut kaum dalam negara ini.
“Bukankah kaum pribumi melebihi 70 peratus? Dan Putra hendak mengingatkan kepada kepimpinan Petronas dan kerajaan Madani iaitu hak keistimewaan Melayu dalam Perlembagaan wajib diambil kira.
“Jangan sekadar beretorik mengenai Fasal 153 dan agenda membantu bumiputera. Jangan jadi gendang kosong dan terus memperdayakan orang Melayu dan pribumi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Shahrulufti berkata, parti itu juga menuntut Petronas mempertimbangkan kesan keputusan dan dasar mereka terhadap ekonomi tempatan, khususnya perniagaan dimiliki dan dioperasikan oleh komuniti Melayu.
Katanya, ia juga perlu mengambil langkah proaktif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi bumiputera.
“Amat memalukan isu Petronas timbul selepas Kongres Ekonomi Bumiputra (KEB) baharu saja berlangsung. Semuanya seperti wayang untuk buai orang Melayu.
“Mengenai isu regulasi dan dasar, Putra tetap dengan pendirian menyeru Petronas berdialog dengan semua pihak berkepentingan untuk menyelesaikan sebarang ketidaksepakatan mengenai keputusan regulasi atau dasar yang mempengaruhi persekitaran perniagaan.
“Dari segi penglibatan komuniti pula, Petronas wajar meningkatkan penglibatan mereka dengan komuniti setempat dan menyokong perniagaan milik Malaysia melalui inisiatif dan program pembangunan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, Putra berdiri teguh di belakang DPMM dan akan terus memperjuangkan keadilan serta kesaksamaan untuk semua perniagaan bumiputera di Malaysia. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!