MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah meluangkan masa menyantuni pengguna jalan raya di pekarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dengan mengedarkan bubur lambuk dan dodol.
Turut serta, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr. Kamarulzaman Mat Salleh; Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, Pengarah-pengarah Eksekutif DBKL dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL.
Bubur lambuk dan dodol yang diedarkan kepada orang ramai adalah hasil gotong royong komuniti Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) serta Majlis Perwakilan Penduduk Kuala Lumpur dan warga DBKL.
Majlis hari ini adalah sempena Program Teh Hijau Kuala Lumpur Edisi Mac 2024.
Program Teh Hijau Kuala Lumpur merupakan aktiviti berkonsepkan hijau rendah karbon yang diadakan setiap bulan bermula dari Januari 2024.
Selain itu, pada penganjuran edisi kali ini turut diadakan bazar percuma dengan tema Ihsan Ramadan iaitu pengagihan barangan terpakai kepada 750 penerima.
Barang tersebut merupakan sumbangan daripada warga kota serta warga kerja DBKL yang telah dikumpul sejak 26 Februari sehingga 13 Mac lalu.
Sumbangan barangan terpakai yang diterima meliputi pakaian, aksesori, kasut dan permainan kanak-kanak.
Antara pengisian lain yang turut dibawakan kepada pengunjung adalah reruai perkhidmatan dan pameran oleh DBKL, aktiviti pertandingan mereka-cipta sampul duit raya kategori kanak-kanak dan dewasa, jualan Rahmah oleh KPDN, Jualan Kombo AgroMADANI serta Jualan Ikan Rakyat, kaunter pendaftaran PADU oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Kaunter Tabung Haji dari Lembaga Tabung Haji, Kaunter Bayaran Zakat dari Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan serta 103 cabutan bertuah untuk dimenangi.
DBKL mengucapkan terima kasih kepada semua rakan strategik iaitu KPDN, FAMA, DOSM, PEMADAM Kuala Lumpur, PPZ, MAIWP, Tabung Haji serta warga kerja DBKL dan komuniti Kuala Lumpur yang menjayakan program kali ini.
Semoga inisiatif ini dapat dimanfaatkan khususnya oleh golongan yang memerlukan di samping menghidupkan amalan bersedekah dan gotong royong. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!