KUALA LUMPUR – Sebuah premis makanan diserbu sepasukan anggota penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebaik menerima aduan keadaan yang kotor dan menjijikkan.
Premis itu antara 53 yang diperiksa dalam Operasi Sepadu Bersih di Ther Garden Mall, Jalan Radin 7, Jalan Menara Gading 1 dan Tingkat 4, NU Sentral di sini.
Menurut kenyataan DBKL, operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 63 premis, yang mana 10 daripadanya ditutup atau tidak beroperasi pada hari pemeriksaan.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan, satu premis telah dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Seksyen (11) Akta Makanan 1983.
“Selain itu, sebanyak 41 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Pelbagai kesalahan bersabit aspek kebersihan, petugas serta persekitaran premis telah dikenakan tindakan.
“DBKL akan meneruskan tindakan seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak kesihatan yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com