KUALA LUMPUR – Penduduk sebuah flat di Cheras, dekat sini, digemparkan dengan penemuan satu mayat kanak-kanak tengah hari semalam.
Mangsa berusia 12 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat 12 perumahan berkenaan dan ditemukan berlumuran darah oleh penduduk.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas rumput di bawah blok bangunan flat perumahan berkenaan oleh orang ramai pada jam 1.52 tengah hari semalam.
Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang tiba di tempat kejadian bersama anggota polis.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemukan dalam insiden yang berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.
Ridzuan berkata, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan akan diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Cheras Inspektor Toh Chee Haur di talian 03-92050301 samb 302 bagi membantu siasatan. – BERNAMA
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com