BERITA UTAMA

Nasionalis sokong gesaan Tiong letak jawatan – Rashidi

KUALA LUMPUR – Gabungan Pertubuhan Nasionalis Tanah Air (Nasionalis) menyokong penuh gesaan dan desakan supaya Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing segera meletak jawatan atau dipecat kerana tindakan melulu beliau menamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd Ghafar.

NGO ini menyifatkan perbuatan berkenaan tidak boleh dipandang remeh, malah merupakan isu besar kerana melibatkan integriti kementerian dan sekaligus imej negara.

Ketua Sekretariatnya, Rashidi Haris berkata, banyak pihak menyatakan kekesalan masing-masing atas kes pemecatan itu yang dilihat dibuat secara tergesa-gesa tanpa memberi sebarang penjelasan munasabah.

“Menteri hanya sekadar membuat kenyataan umum bahawa prestasi Ketua Pengarah itu tidak memuaskan.

“Apatah lagi ia melibatkan seorang penjawat awam yang telah berkhidmat selama 35 tahun lebih dan memegang jawatan utama di kementerian.

“Pemecatan ini juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Fasa 135 (2) iaitu tiada seorang pun anggota sesuatu perkhidmatan yang disebut terdahulu boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat tanpa diberi peluang yang munasabah untuk didengar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Rashidi, notis itu dikeluarkan beberapa hari sahaja tanpa diberi ruang kepada Dr. Ammar untuk membuat pembelaan terhadap tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Kata beliau, apabila bercakap mengenai keadilan dari kerajaan adil yang ditadbir parti Keadilan dengan meletakkan prinsip itu sebagai kemuncak perjuangan, ternyata kes berkenaan bercanggah dengan prinsip dilaungkan.

“Rakyat semua tahu dalam amalan mana-mana kementerian atau jabatan, hatta syarikat sendirian berhad sekalipun, setiap tuduhan itu harus ada bukti dan yang dituduh diberi peluang membela dirinya.

“Ini mengingatkan kita kembali peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari UMNO dahulu. Beliau dipanggil dan diberi peluang membela diri dengan menyampaikan hujah bagi menyokong pandangannya. Beliau tidak dipecat dan terus diarah keluar parti.

“Kalau dahulu Tun Dr. Mahathir Mohamad ada kuasa boleh memecat beliau, sama juga dengan kes Dr. Ammar walaupun ada peruntukan kuasa kepada menteri untuk melantik, tetapi menteri tidak ada hak untuk memecat atau menurun pangkat mana-mana penjawat awam,” ujar beliau.

Rashidi turut menimbulkan persoalan, mana mungkin menteri yang baharu dilantik tanpa pengalaman luas mengenai pelancongan membuat penilaian terhadap Ketua Pengarahnya yang sudah berkhidmat selama 35 tahun dengan mengatakan prestasi merosot.

Oleh itu, beliau setuju apabila NGO Nasionalis mendesak supaya Dr. Ammar dikembalikan semula jawatan sebagai Ketua Pengarah.

“Kita juga setuju sebuah jawatankuasa “Domestic Inquiry” dibentuk bagi menyiasat secara terperinci termasuk mendengar pandangan Dr. Ammar sebelum apa-apa tindakan dibuat,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *