BERITA UTAMA

Haikal jatuh dalam gelanggang, kepala terhentak ke lantai – Setiausaha Agung PESAKA

SEREMBAN – Pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin yang meninggal dunia di hospital di sini, awal pagi semalam, telah jatuh dalam gelanggang dan kepalanya terhentak ke lantai ketika menyertai pertandingan prapemilihan Sukan Malaysia (SUKMA), kata Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Bibi Aishah Golbal Shah.

Katanya, atlet berusia 21 tahun itu jatuh ketika sedang beraksi dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.

“Dia sedang beraksi dalam pertandingan… ketika itu, atlet ini sedang melakukan sapuan bawah, kemudian kepalanya terhentak ke lantai. Dia bangun semula, tetapi rebah.

“Ketika di gelanggang, dia didapati tidak bernafas. Pihak kami dan pegawai perubatan cuba memberi bantuan pernafasan hingga ambulans datang untuk menghantarnya ke hospital.

“Saya dikhabarkan dia bernafas semula dan mendapat bantuan oksigen di hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Bibi Aishah berkata, Hospital Tuanku Ja’afar memaklumkan Wan Muhammad Haikal meninggal dunia pada jam 1.20 pagi dan jenazah dibawa pulang ke Kampung Alur Selising, Jertih, Terengganu.

Beliau memaklumkan, pertandingan prapemilihan SUKMA bagi pencak silat itu membabitkan atlet dari 12 negeri bermula Jumaat hingga semalam.

“Berikutan kejadian itu, kami membatalkan semua kejohanan berlangsung bagi separuh akhir dan final bagi menghormati pemergian Allahyarham,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *