Beacon Kenderaan Penguat Kuasa: Perlu Dikaji Semula Demi Keselamatan Pengguna Jalan Raya

Oleh: Manzaidi Mohd Amin

KEMALANGAN tragis yang mengorbankan tiga beranak selepas dilanggar sebuah lori Jabatan Imigresen di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Kuala Lumpur, baru-baru ini wajar menjadi titik tolak kepada kerajaan untuk menilai semula penggunaan lampu beacon (lampu amaran berkelip)pada kenderaan penguat kuasa.

Persoalannya bukan untuk mempertikaikan keperluan kenderaan penguat kuasa menggunakan lampu beacon, sebaliknya untuk melihat sama ada kaedah penggunaannya pada masa ini benar-benar jelas kepada semua pengguna jalan raya.

Dalam keadaan biasa, apabila lampu isyarat sesebuah laluan berwarna merah, pengguna jalan raya sememangnya perlu berhenti. Namun, kenderaan penguat kuasa tertentu mempunyai keperluan untuk bergerak walaupun lampu isyarat mereka merah, khususnya ketika menjalankan tugas.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Di sinilah timbul persoalan mengenai cara kenderaan tersebut meminta laluan.

Pada pandangan saya, keutamaan untuk meminta laluan ketika lampu isyarat merah sewajarnya diberikan kepada konvoi atau kenderaan penguat kuasa yang mempunyai pengiring, khususnya anggota bermotosikal atau berkereta.

Apabila pengguna jalan raya melihat anggota polis bermotosikal atau kenderaan polis sedang mengiringi sesuatu kenderaan, isyarat itu lebih mudah difahami. Walaupun lampu isyarat mereka hijau, kebanyakan pengguna akan memperlahankan kenderaan dan memberikan laluan kerana menyedari terdapat operasi atau pergerakan khas yang sedang dijalankan.

Sebaliknya, keadaan menjadi jauh lebih mengelirukan sekiranya hanya sebuah lori atau kenderaan penguat kuasa yang memasang lampu beacon dan meminta laluan ketika lampu isyarat merah.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Pengguna jalan raya dari arah lain mungkin melihat lampu isyarat mereka sendiri berwarna hijau. Dalam keadaan itu, mereka mempunyai hak untuk meneruskan perjalanan. Pada masa sama, mereka mungkin tidak menjangka sebuah lori penguat kuasa akan memasuki persimpangan dari arah yang lampu isyaratnya merah.

Perbezaan beberapa saat dalam membuat tafsiran boleh membawa akibat yang sangat besar.

Lampu beacon pada asasnya bertujuan memberi amaran dan menarik perhatian pengguna jalan raya. Namun, jika terlalu banyak kategori kenderaan menggunakannya untuk mendapatkan keutamaan di persimpangan, ia boleh menimbulkan persoalan: adakah pengguna jalan raya benar-benar tahu bila mereka perlu berhenti, bila perlu memberi laluan dan bagaimana hendak bertindak apabila melihat hanya sebuah kenderaan penguat kuasa?

Justeru, kerajaan wajar mengkaji semula prosedur penggunaan beacon ketika melintasi persimpangan lampu isyarat, terutama apabila kenderaan tersebut perlu bergerak ketika lampu isyarat merah.

Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah menetapkan kenderaan penguat kuasa yang perlu mendapatkan keutamaan di persimpangan hendaklah, seboleh mungkin, disertai pengiring anggota bermotosikal atau kenderaan penguat kuasa lain yang berfungsi memberi isyarat jelas kepada pengguna jalan raya.

Ini bukan soal menyukarkan tugas anggota penguat kuasa. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan arahan kepada pengguna jalan raya lebih jelas dan seragam.

Pada masa sama, penggunaan beacon juga perlu disertai prosedur operasi standard yang benar-benar jelas. Jika sesebuah kenderaan perlu melalui lampu merah, pemandunya mesti memastikan persimpangan benar-benar selamat sebelum bergerak, bukannya bergantung semata-mata kepada kehadiran lampu beacon.

Pengguna jalan raya pula perlu diberi kefahaman lampu beacon bukan bermaksud kenderaan penguat kuasa mempunyai hak untuk bergerak tanpa mengambil kira keadaan lalu lintas.

Tragedi di Maju Junction seharusnya tidak hanya dilihat dari sudut siapa yang bersalah. Yang lebih penting ialah apakah sistem sedia ada mempunyai ruang kelemahan yang boleh diperbaiki supaya kejadian seumpama ini tidak berulang.

Kita tidak mahu pengguna jalan raya berada dalam situasi terpaksa membuat keputusan dalam beberapa saat antara mematuhi lampu hijau di hadapan mereka atau mengagak sebuah kenderaan yang mempunyai beacon mungkin sedang meminta laluan.

Keselamatan jalan raya memerlukan isyarat yang jelas, konsisten dan mudah difahami.

Jika kerajaan mendapati penggunaan beacon dalam keadaan tertentu boleh menimbulkan kekeliruan, maka prosedur itu wajar diperhalusi. Kenderaan penguat kuasa sememangnya perlu menjalankan tugas, tetapi keselamatan anggota penguat kuasa dan orang awam juga mesti berjalan seiring.

Apa yang berlaku di Maju Junction wajar menjadi pengajaran. Mungkin sudah tiba masanya satu kajian menyeluruh dibuat terhadap penggunaan lampu beacon, khususnya bagi kenderaan yang perlu melintasi persimpangan ketika lampu isyarat mereka merah.

Kerana dalam soal keselamatan jalan raya, isyarat yang tidak jelas boleh mengundang keputusan yang salah, dan keputusan yang salah dalam masa beberapa saat boleh mengubah kehidupan seseorang buat selama-lamanya.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *