KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 10,006 pendatang tanpa izin ke negara asal masing-masing menerusi program pemindahan tahanan asing, setakat ini.
JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah berkenaan, warga Filipina mencatat bilangan tertinggi, iaitu 7,670 orang diikuti Indonesia (1,960), China (156), Pakistan (153), Vietnam (30) dan lain-lain warganegara (37).
Menurut kenyataan itu, operasi penghantaran pulang terbaharu dilaksanakan semalam, melibatkan 755 pendatang tanpa izin warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan kapal MV Antonia 1.
“Kesemua mereka terdiri daripada 669 lelaki, wanita (63), kanak-kanak lelaki (14) dan kanak-kanak perempuan (sembilan), berusia antara enam bulan hingga 69 tahun.
“Kanak-kanak yang dihantar pulang itu diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah memaklumkan 10 pendatang tanpa izin warga Pakistan dan masing-masing seorang warga India dan Vietnam turut dihantar pulang semalam dari Depot Imigresen Kota Kinabalu serta Papar menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), seterusnya ke negara asal masing-masing.
Menurut kenyataan itu, kesemua pendatang tanpa izin berkenaan selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan sah untuk proses penghantaran pulang.
Pada masa sama, JIM Sabah mengharapkan kerjasama Kedutaan Filipina untuk mempercepat proses pengeluaran dokumen perjalanan supaya penghantaran pulang rakyat negara itu dapat dilaksanakan segera, sekali gus mengurangkan kesesakan di depot imigresen.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Majikan turut disaran menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi mengurus dan merekod keberadaan pekerja asing di Sabah, khususnya dalam sektor perladangan.
“Inisiatif ini dijangka dapat mengekang isu dokumentasi dan lambakan pendatang tanpa izin di Sabah,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
