SHENZHEN (China) – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sama sekali tidak kesal memberikan sokongan penuh kepada Presiden China Xi Jinping meskipun berdepan pelbagai tekanan, sambil menegaskan semula komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan negara berkenaan.
Perdana Menteri berkata sokongan itu berasaskan keyakinannya terhadap kepimpinan Xi, khususnya keupayaan beliau menghimpunkan kuasa-kuasa besar dunia dan memupuk keamanan dalam suasana ketidaktentuan geopolitik pada masa kini.
“Itu sebabnya saya sama sekali tidak menyesal dengan keputusan memberikan sokongan penuh kepada anda sebagai pemimpin dunia yang hebat dan menjalin hubungan dua hala yang kukuh, meskipun berdepan apa jua tekanan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada mesyuarat dua hala bersama Xi di Qilin Villa State Guest House di sini hari ini.
Anwar turut memuji Xi atas kejayaannya mempertemukan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin, yang disifatkannya sebagai pencapaian yang sukar dilakukan oleh kebanyakan pemimpin dunia lain.
“Hanya Presiden Xi mampu melakukannya. Saya tidak tahu siapa lagi boleh berbuat demikian. Tahniah, kerana perkara ini amat bermakna. Negara-negara membangun seperti kami memandang tinggi kepada pemimpin yang memiliki kebijaksanaan dan keberanian untuk menghimpunkan ketiga-tiga pemimpin ini,” katanya.
Perdana Menteri turut memuji kejayaan China menjadi tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33, sambil berkata Malaysia kagum dengan pembangunan infrastruktur berskala besar serta kelancaran keseluruhan penganjuran acara itu, termasuk layanan mesra diberikan kepada delegasi.
“Pertama, kita dapat melihat pembangunan infrastruktur yang begitu besar dan mengagumkan. Namun kali ini, Tuan Presiden, di bawah kepimpinan anda, keseluruhan pengurusan acara, daripada peringkat tertinggi hinggalah kepada petugas hotel, termasuk pelayan peribadi, amat mengagumkan,” katanya.
Beliau berkata delegasi Malaysia turut menyatakan kekaguman terhadap pengurusan acara berkenaan dan berharap dapat mencontohi beberapa pendekatan yang dilaksanakan China di Malaysia.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Anwar berkata lawatannya ke Shanghai dan Hangzhou pada September lepas, yang turut menyaksikan beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri China Li Qiang, telah memperkukuh lagi hubungan dua hala, dengan kedua-dua negara kemudian bersetuju memperluas kerjasama dalam beberapa bidang. – BERNAMA
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
