PASIR MAS – Penduduk di sekitar Rantau Panjang mula meningkatkan pemantauan terhadap keadaan Sungai Golok susulan kenaikan paras air sungai itu, yang mencetuskan kebimbangan kemungkinan banjir sekiranya hujan berterusan.
Tinjauan Bernama di sekitar Rantau Panjang mendapati penduduk semakin peka terhadap perubahan paras air sungai berkenaan, terutama ketika keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan turun berselang-seli di kawasan itu.
Hujan lebat di kawasan Narathiwat, Thailand turut menambah kebimbangan penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Golok, memandangkan sebarang peningkatan paras air boleh memberi kesan kepada kawasan rendah dan kediaman berdekatan sungai.
Walaupun air sungai ketika ini belum melimpah ke kawasan kediaman, penduduk tidak mahu mengambil mudah keadaan itu, sebaliknya terus mengikuti perkembangan paras air bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Seorang penduduk Nik Ahmad Nik Ismail, 40, berkata kenaikan paras air Sungai Golok yang berlaku ketika hujan turun berselang-seli memaksa mereka memantau keadaan sungai lebih kerap.
Beliau berkata keadaan itu menimbulkan kebimbangan sekiranya hujan berterusan, sekali gus menyebabkan paras air meningkat lebih tinggi dan berisiko melimpah ke kawasan berhampiran.
“Memang kami nampak paras air Sungai Golok mula naik berikutan hujan yang turun sekejap-sekejap di sini. Walaupun air belum melimpah, kami tetap memantau keadaan sungai kerana bimbang sekiranya hujan berterusan dan berlaku banjir.
“Kami tidak boleh mengambil mudah keadaan ini kerana paras air boleh meningkat, jadi lebih baik sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa,” katanya kepada Bernama hari ini.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sementara itu, seorang lagi penduduk Wan Che Zainab Wan Che Mat, 55, berkata hujan lebat di kawasan Narathiwat turut menimbulkan kebimbangan penduduk, terutama mereka yang tinggal berdekatan tebing Sungai Golok.
Beliau berkata pengalaman berdepan banjir hampir setiap tahun menyebabkan dirinya lebih peka terhadap perubahan cuaca dan paras air sungai, meskipun sudah biasa dengan keadaan kediamannya yang dinaiki air ketika musim banjir.
Menurut Wan Che Zainab, setiap kali hujan lebat berlaku di kawasan berhampiran sempadan, beliau mula bimbang keadaan itu akan menyebabkan paras air Sungai Golok terus meningkat dan akhirnya menjejaskan kediaman penduduk.
“Apabila hujan lebat di sebelah Narathiwat, kami memang risau kerana bimbang air Sungai Golok turut meningkat dan melimpah ke kawasan rumah.
“Rumah saya hampir setiap tahun dinaiki air. Jadi, sudah biasa dengan keadaan itu tetapi perasaan bimbang tetap ada setiap kali melihat paras air sungai semakin naik,” katanya.
Semalam, satu daripada empat stesen pemantauan aras air sungai di Kelantan merekodkan paras melebihi tahap waspada setakat 10.45 malam.
Berdasarkan data Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan paras air 7.18 meter, melepasi paras waspada 7.00 meter. – BERNAMA
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
