Oleh NurFarhana Zulkeply
JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menggesa penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya mencontohi pendirian PAS dengan memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, langkah tersebut mampu memperkukuh agenda penyatuan politik Melayu yang disifatkannya sebagai antara aspirasi utama sebahagian masyarakat Melayu, khususnya di Johor.
Khairy berkata, Bersatu dan PAS tidak seharusnya dilihat sebagai musuh politik BN kerana ketiga-tiga parti mempunyai latar perjuangan yang hampir sama dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.
Atas semangat yang disebutnya sebagai “kolaborasi agung”, beliau mengajak penyokong Bersatu mengalihkan sokongan kepada BN di kawasan yang tidak mempunyai calon PN bagi memperkukuhkan kekuatan blok Melayu dalam menghadapi persaingan politik semasa.
Dalam masa sama, Khairy mengingatkan BN supaya tidak terlalu bergantung kepada sentimen kekecewaan pengundi bukan Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Katanya, rasa tidak puas hati terhadap pihak lawan tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan automatik kepada BN, sebaliknya gabungan itu perlu bekerja lebih keras untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka menawarkan kepimpinan serta hala tuju yang lebih baik.
Kenyataan Khairy itu dilihat menambah momentum perbincangan mengenai kemungkinan penyatuan kuasa politik Melayu menjelang hari pengundian.
Dengan PAS sebelum ini mengarahkan penyokongnya membantu calon BN di beberapa kawasan tertentu, seruan supaya penyokong Bersatu mengambil pendekatan sama dijangka terus mencorakkan landskap politik Johor serta memberi impak terhadap perebutan undi di kawasan-kawasan kritikal.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L