Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Boao Forum for Asia (BFA) dalam pelbagai bidang utama bagi meningkatkan daya tahan ekonomi dan memperluas peluang pembangunan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan Setiausaha Agung BFA, Zhang Jun bagi bertukar pandangan mengenai landskap serantau dan global yang semakin mencabar.
Menurut beliau, dunia kini berdepan pelbagai ketidaktentuan termasuk isu geopolitik, tekanan ekonomi serta perubahan teknologi yang berkembang dengan pesat.
Dalam konteks tersebut, Anwar menegaskan kerjasama serantau yang lebih erat, inklusif dan berteraskan dialog perlu terus diperkasakan bagi menjamin kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
Malaysia, katanya, akan terus bekerjasama rapat dengan BFA dalam beberapa bidang strategik termasuk perdagangan dan pelaburan, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga, keterjaminan makanan, pendidikan serta pembangunan bakat.
Beliau berkata, usaha memperkukuh hubungan dengan BFA diyakini mampu meningkatkan daya tahan rantau selain membuka lebih banyak ruang kerjasama yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Katanya, komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa adalah sejajar dengan aspirasi Diplomasi MADANI yang menekankan prinsip keterangkuman, kemampanan dan kesejahteraan bersama.
Pertemuan itu turut mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam memperkukuh hubungan strategik dengan rakan serantau bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L