KUALA LUMPUR – Pemegang saham PRG Holdings Bhd. menolak tiga daripada enam resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat semalam, sekali gus dilihat menghantar mesej jelas mengenai keperluan memperkukuhkan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus korporat dalam syarikat.
Pemegang saham kedua terbesar PRG Holdings Bhd, Datuk Sheah Kok Fah yang memiliki pegangan sebanyak 8.14 peratus dalam syarikat berkata, penolakan Resolusi 1, Resolusi 5 dan Resolusi 6 mencerminkan kebimbangan pemegang saham terhadap kedudukan semasa syarikat serta keinginan mereka untuk melihat pembaharuan dalam aspek tadbir urus sebelum sebarang mandat baharu diberikan kepada Lembaga Pengarah.
Menurut beliau, keputusan itu menunjukkan pemegang saham mengambil pendirian berhati-hati terhadap beberapa cadangan yang melibatkan imbuhan pengarah, penerbitan saham baharu dan pengurusan modal syarikat.
Pada AGM berkenaan, enam resolusi telah dibentangkan kepada pemegang saham, melibatkan kelulusan yuran dan elaun pengarah, pemilihan semula dua pengarah bebas bukan eksekutif, pelantikan semula juruaudit serta kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk menerbitkan saham dan melaksanakan pembelian balik saham.
Iklan

Bagaimanapun, hanya Resolusi 2, Resolusi 3 dan Resolusi 4 diluluskan, manakala Resolusi 1, 5 dan 6 gagal memperoleh sokongan pemegang saham.
Bagi Resolusi 1 yang berkaitan kelulusan yuran dan elaun pengarah bagi tempoh bermula 26 Jun 2026 sehingga AGM akan datang, Sheah berkata, penolakan tersebut menunjukkan pemegang saham belum bersedia meluluskan imbuhan kepada Lembaga Pengarah ketika syarikat masih berdepan beberapa isu yang belum diselesaikan.
Beliau berkata, antara kebimbangan dibangkitkan ialah transaksi pihak berkaitan yang belum diperjelaskan sepenuhnya, kemerosotan nilai aset serta kerugian besar ditanggung syarikat.
“Pemegang saham mahu melihat tindakan pembetulan yang nyata terlebih dahulu sebelum memberi kelulusan terhadap imbuhan pengarah,” katanya.
Resolusi 5 pula membabitkan cadangan memberikan kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk menerbitkan saham baharu.
Menurut Sheah, penolakan resolusi itu membuktikan pemegang saham tidak bersedia memberikan mandat sedemikian selagi isu-isu tadbir urus korporat yang dibangkitkan belum diselesaikan.
Beliau berkata, kuasa menerbitkan saham baharu berpotensi mencairkan pegangan pemegang saham sedia ada dan hanya wajar diberikan sekiranya syarikat mempunyai mekanisme tadbir urus yang kukuh bagi melindungi kepentingan semua pihak.
Sementara itu, Resolusi 6 berkaitan cadangan pembelian balik saham turut ditolak.
Katanya, keputusan tersebut mencerminkan sikap berhati-hati pemegang saham untuk memberikan kuasa tambahan berkaitan pengurusan modal kepada Lembaga Pengarah ketika syarikat masih berdepan pelbagai isu yang memerlukan perhatian.
Dalam perkembangan sama, pemegang saham meluluskan Resolusi 2 dan Resolusi 3 yang membabitkan pemilihan semula Tan Sri (Dr) Mazlan Lazim dan Datin Arlina Ariff sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif PRG.
Menurut Sheah, keputusan itu penting bagi memastikan Lembaga Pengarah terus mempunyai enam ahli dan tidak berkurangan kepada hanya empat orang.
Beliau berkata, bilangan pengarah yang mencukupi akan membantu memastikan wujudnya semak dan imbang yang lebih berkesan dalam proses membuat keputusan syarikat.
“Jika Lembaga Pengarah menjadi terlalu kecil, kuasa membuat keputusan boleh tertumpu kepada pihak pengurusan eksekutif, khususnya Pengarah Urusan Kumpulan.
“Mengekalkan struktur lembaga yang lebih seimbang penting bagi memastikan pengawasan yang lebih baik serta memperkukuhkan tadbir urus korporat syarikat,” katanya.
Resolusi 4 yang melibatkan pelantikan semula BDO PLT sebagai juruaudit turut mendapat sokongan pemegang saham.
Sheah berkata, pelantikan semula firma audit itu penting bagi memastikan kesinambungan proses audit ketika syarikat berdepan beberapa perkembangan baharu yang memerlukan penelitian lanjut.
Menurut beliau, sebagai juruaudit sedia ada, BDO PLT mempunyai pengetahuan mendalam mengenai kedudukan kewangan, rekod dan proses pelaporan PRG, sekali gus membolehkan firma itu menilai implikasi transaksi pihak berkaitan serta maklumat lain yang didakwa baru didedahkan.
Mengulas keputusan AGM tersebut, Sheah menyifatkan sokongan diterima daripada pemegang saham sebagai satu perkembangan positif ke arah memperkukuhkan tadbir urus syarikat.
“Saya amat berterima kasih atas sokongan diberikan pemegang saham. Keputusan ini menunjukkan mereka prihatin terhadap aspek tadbir urus, ketelusan dan pendedahan maklumat dalam PRG,” katanya.
Beliau berkata, AGM itu hanyalah langkah pertama dan pihaknya bercadang memohon supaya satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi membolehkan beberapa perubahan dicadangkan kepada struktur kepimpinan syarikat.
Menurut beliau, cadangan tersebut berkemungkinan merangkumi penyingkiran Pengarah Urusan Kumpulan sedia ada serta pelantikan pengarah baharu sekiranya mendapat sokongan pemegang saham.
Beliau menegaskan objektif utama inisiatif itu bukan untuk mencetuskan ketidakstabilan dalam syarikat, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan PRG, melindungi kepentingan pemegang saham minoriti serta memulihkan keyakinan pasaran terhadap syarikat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L