Peoplelogy perkasa tenaga kerja era AI

KUALA LUMPUR – Transformasi tenaga kerja dan peningkatan kemahiran digital kini menjadi keperluan strategik bagi memastikan organisasi kekal berdaya saing dalam era kecerdasan buatan (AI), menurut Peoplelogy Bhd.

Syarikat transformasi tenaga kerja digital tersenarai awam pertama di Malaysia itu sedang memperkukuh pembangunan model transformasi dipacu AI menerusi platform pembelajaran GOAL oleh PEOPLElogy.

Platform berkenaan dibangunkan hasil kerjasama strategik baharu syarikat bersama Pulsifi, yang dijangka meningkatkan keupayaan kecerdasan bakat berkuasa AI, analitik tenaga kerja serta penyelesaian pembangunan bakat berasaskan data secara lebih bersepadu.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Peoplelogy, Allen Lee Chin Min berkata, organisasi kini berdepan perubahan pesat dipacu pendigitalan, teknologi AI dan keperluan tenaga kerja yang sentiasa berubah.

Kami percaya bahawa transformasi tenaga kerja bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi organisasi yang ingin kekal berdaya saing dalam era AI,” tegas Chin Min.

Sejajar dengan agenda pendigitalan negara, Peoplelogy yang telah melatih lebih 250,000 bakat menerusi Rangka Kerja 6D proprietarinya turut menyasarkan impak kepada 10 juta nyawa di seluruh dunia bagi merapatkan jurang kemahiran digital global.

Inisiatif pemerkasaan itu digerakkan melalui kempen utama BINA PASUKAN MASA DEPAN, dengan kerjasama rapat bersama agensi kerajaan, penyedia kemahiran dan pemimpin industri bagi mempercepat pembangunan bakat secara berskala.

Dalam pada itu, keyakinan terhadap hala tuju syarikat terus diperkukuh apabila kesemua resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan Kedua (AGM ke-2) diluluskan oleh pemegang saham.

Kelulusan berkenaan merangkumi penerimaan Penyata Kewangan Beraudit 2025, pelantikan semula juruaudit serta pemilihan semula Chin Min dan Datuk Seri Chua Kah Seng sebagai pengarah, sekali gus mencerminkan sokongan terhadap kepimpinan dan tadbir urus syarikat.

Pemegang saham turut meluluskan pemberian kuasa kepada pengarah untuk memperuntukkan dan menerbitkan saham di bawah Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016, yang memberi fleksibiliti kewangan bagi peluang perniagaan serta potensi pengambilalihan masa hadapan.

“Masa depan pekerjaan akan menjadi milik organisasi yang bersedia melabur dalam sumber manusia, teknologi dan transformasi dipacu kecerdasan,” kata Chin Min sambil merakamkan penghargaan kepada pemegang saham, rakan kongsi dan pekerja syarikat berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *