UMNO Johor Bahru Gesa BN Nilai Semula Kerusi Stulang

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

JOHOR BAHRU – Akar umbi UMNO di DUN Stulang menggesa kepimpinan Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan secara serius agar kerusi N45 Stulang diberikan kepada UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Pengarah War Room BN Johor Bahru, Muhammad Haris Hamzah berkata, tuntutan itu lahir daripada penilaian realiti politik semasa, sentimen pengundi serta rekod pilihan raya yang menunjukkan kerusi tersebut gagal dipertahankan atau dirampas semula oleh MCA dalam tiga pilihan raya berturut-turut.

Menurut beliau, keputusan mengenai pembahagian kerusi tidak boleh lagi bergantung kepada tradisi semata-mata, sebaliknya perlu berasaskan faktor kebolehmenangan dan penerimaan rakyat.

“Jika matlamat utama BN adalah untuk menang, maka calon dan parti yang mempunyai peluang terbaik mesti diberi keutamaan. Stulang memerlukan pendekatan baharu yang lebih realistik dan strategik,” katanya dalam laman facebook miliknya.

Beliau berkata, maklum balas daripada akar umbi menunjukkan keinginan yang jelas untuk melihat kepimpinan yang lebih dekat dengan rakyat, aktif menyelesaikan isu tempatan dan konsisten turun padang.

Menurut beliau, kekuatan jentera MCA di kawasan itu juga dilihat semakin terhad sehingga gagal meyakinkan pengundi untuk kembali menyokong BN.

“UMNO Johor Bahru mempunyai rangkaian akar umbi yang kukuh, jentera yang aktif dan kepimpinan tempatan yang sentiasa bersama rakyat tanpa mengira kaum. Ini adalah kekuatan yang boleh mengembalikan Stulang kepada BN,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan BN dan UMNO Johor supaya mendengar suara akar umbi yang mahukan UMNO diberi mandat untuk bertanding di N45 Stulang.

“Sudah tiba masanya keputusan dibuat berdasarkan formula kemenangan, bukan semata-mata tradisi pembahagian kerusi. Utamakan kemenangan, dahulukan rakyat,” katanya.

Kenyataan itu turut mendapat sokongan Ketua-Ketua Cawangan UMNO DUN Stulang, Ketua-Ketua PDM BN DUN Stulang serta kepimpinan sayap-sayap UMNO di kawasan berkenaan.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *