JETP Pacu Johor Ke Arah Negeri Maju Menjelang 2030 – Onn Hafiz

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor komited merealisasikan Johor Economic Transformation Plan (JETP) sebagai pelan pembangunan ekonomi jangka panjang yang bakal memacu negeri ini menjadi sebuah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, menerusi JETP, Johor menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion, KDNK per kapita RM69,000, menwujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu serta 100,000 pekerjaan berpendapatan premium menjelang 2030.

Beliau berkata, setiap daerah di Johor diberikan peranan strategik berdasarkan kekuatan dan kelebihan masing-masing bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan menyeluruh.

Menurut beliau juga, Johor Bahru dan Kulai akan berperanan sebagai hab kecerdasan buatan (AI), pembuatan berteknologi tinggi, ekonomi digital, aeroangkasa serta perkhidmatan berorientasikan eksport, manakala Kota Tinggi akan menjadi gerbang tenaga, hab kimia hijau, pertanian dan pelancongan.

“Mersing pula akan diperkasakan sebagai hab ekonomi biru dan eko-pelancongan, manakala Kluang serta Segamat akan memberi tumpuan kepada sektor pertanian bernilai tinggi, agro-pemprosesan dan bioproses,” katanya.

Tambah beliau, Tangkak akan dibangunkan sebagai pusat strategik dan agro pelancongan, sementara Muar, Batu Pahat dan Pontian akan memainkan peranan penting dalam sektor tenaga, pembuatan, pemprosesan makanan serta akuakultur.

“Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Johor Regulatory Sandbox yang membolehkan dasar, teknologi dan model perniagaan baharu diuji serta dilaksanakan dengan lebih pantas, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai negeri yang progresif, inovatif dan mesra pelabur,” katanya.

Beliau berharap segala perancangan yang digariskan menerusi JETP dapat direalisasikan dengan jayanya demi memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara seimbang oleh seluruh Bangsa Johor.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *