Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengingatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak hanya bertindak selepas sesuatu isu tular di media sosial, sebaliknya memastikan aspek penyelenggaraan, kebersihan dan keselamatan sentiasa dipantau secara berterusan.
Beliau berkata demikian susulan aduan mengenai kemudahan awam di Putrajaya termasuk kerosakan lif dan eskalator di beberapa lokasi tumpuan pelancong.
Selain itu, beliau juga berkata bahwa Perbadanan Putrajaya (PPj) telah mengambil tindakan segera dan melaksanakan kerja pembaikan, namun penyelenggaraan harian perlu dilakukan secara konsisten.
Hannah turut menggesa pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dalam menilai maklumat yang tular kerana sesuatu video sering kali tidak menggambarkan keseluruhan situasi sebenar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM200 juta menerusi Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur 2026 bagi membangunkan dan menaik taraf kemudahan penjaja di 287 lokasi di ibu negara.
Menurut beliau juga, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 11,000 peniaga dan penjaja kecil melalui penyediaan persekitaran perniagaan yang lebih selesa, selamat dan tersusun.
Sementara itu, projek naik taraf kemudahan penjaja berhampiran UTC Sentul yang menelan kos RM1.6 juta sedang dilaksanakan melibatkan pembinaan 20 kios modular baharu dan dijangka siap sebelum Oktober ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata DBKL turut memperkenalkan bantuan khas RM1,500 sebulan kepada 20 peniaga yang terjejas sepanjang tempoh pembinaan bagi membantu meringankan beban mereka.
Menurut beliau, program Lestari Niaga akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa awal melibatkan 224 lokasi di seluruh Kuala Lumpur.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L