MELAKA – EP Manufacturing Bhd. (EPMB) terus memperkukuh kedudukannya dalam industri automotif negara apabila memulakan pembinaan kemudahan pengecatan kenderaan baharu di Pegoh yang berkapasiti sehingga 30,000 unit setahun.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi syarikat untuk membangunkan hab pembuatan automotif bersepadu di Melaka, sekali gus mengukuhkan peranan negeri berkenaan sebagai pusat pengeluaran dan eksport automotif yang semakin berkembang di rantau ASEAN.
Kemudahan baharu tersebut akan melengkapkan rantaian nilai pembuatan automotif yang dibangunkan EPMB, merangkumi penyetempatan komponen, operasi pemasangan separa siap (CKD), pengecatan, kawalan kualiti, pengujian serta logistik eksport di bawah satu kampus pembuatan.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, pembinaan fasiliti itu merupakan pelaburan strategik yang bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat, malah memperkukuh pembangunan ekosistem automotif Melaka dalam jangka panjang.
“Dengan integrasi kemudahan pengecatan ke dalam kampus pembuatan sedia ada, EPMB kini mampu menawarkan penyelesaian pembuatan automotif yang lebih lengkap kepada pengeluar peralatan asal (OEM) global, daripada penyetempatan dan pemasangan sehingga kepada pengecatan serta kesediaan eksport,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pembangunan tersebut turut dijangka membuka lebih banyak peluang kepada vendor tempatan, mempercepat pemindahan teknologi serta memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor automotif.
Pengumuman itu hadir ketika perniagaan pembuatan automotif EPMB menunjukkan pertumbuhan ketara hasil kerjasama dengan empat pengeluar automotif utama dari China iaitu GWM, BAIC, SAIC-MG dan XPENG.
Setakat ini, jumlah pengeluaran kenderaan di fasiliti Pegoh telah melepasi 1,000 unit sebulan, dengan kapasiti dijangka terus meningkat susulan pelancaran program pemasangan baharu serta pengembangan aktiviti eksport.
Kenderaan yang dipasang di Pegoh kini telah memasuki beberapa pasaran serantau termasuk Thailand, manakala EPMB sedang memperluaskan kerjasama dengan rakan OEM bagi menembusi lebih banyak pasaran ASEAN dan antarabangsa.
Seiring peningkatan kapasiti pengeluaran, syarikat menyasarkan untuk menjadikan Pegoh sebagai hab pembuatan dan eksport automotif serantau yang disokong oleh rangkaian pembekal tempatan, rakan teknologi, penyedia logistik serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Perkembangan terbaharu itu juga mencerminkan transformasi EPMB daripada pembekal komponen automotif Tahap-1 kepada penyedia penyelesaian pembuatan automotif bersepadu, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai pusat pengeluaran dan eksport automotif yang lebih kompetitif di peringkat serantau.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L