Oleh NurFarhana Zulkeply
NILAI – Kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Nilai-Labu-Enstek (NLE) kini menunjukkan perkembangan positif selepas Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta serta melantik kontraktor baharu bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, Arul Kumar Jambunathan berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi kemajuan pembinaan yang semakin ketara sejak kontraktor baharu mengambil alih projek tersebut.
Menurut beliau, tinjauan yang dilakukan di persimpangan permulaan Lebuhraya NLE di Taman Semarak, Nilai mendapati pelbagai kerja pembinaan sedang giat dijalankan bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Sejak pelantikan kontraktor baharu, pelbagai kerja pembinaan telah dipergiatkan dan kemajuan projek dapat dilihat dengan lebih ketara.
“Perkembangan ini amat penting bagi memastikan projek Lebuhraya NLE dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Lebuhraya NLE merupakan jalan raya berkembar empat lorong tanpa tol sepanjang 18-kilometer yang menghubungkan Taman Semarak, Nilai dengan Bandar Enstek.
Projek yang dibangunkan di bawah inisiatif Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) itu bertujuan meningkatkan jaringan pengangkutan antara kawasan Nilai, Labu dan Bandar Enstek, sekali gus menyokong pembangunan pesat di koridor ekonomi berkenaan.
Menurut Arul Kumar, lebuhraya tersebut dijangka siap pada tahun hadapan dan bakal memberi manfaat besar kepada pengguna jalan raya dengan memendekkan masa perjalanan ke Bandar Enstek serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Selain itu, laluan berkenaan turut merentasi beberapa kawasan pembangunan dan perindustrian utama termasuk Bandar Hamilton, MVV City dan Bandar Enstek yang menjadi antara pusat pertumbuhan ekonomi penting di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, apabila siap kelak, pengguna tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada laluan sedia ada di Pekan Nilai, Labu dan Pekan Salak yang sering berdepan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.
Dalam masa sama, projek itu turut merangkumi pembinaan sebuah persimpangan bertingkat baharu yang akan menghubungkan Lebuhraya NLE secara terus dengan Lebuhraya PLUS berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan.
Katanya, kemudahan tersebut dijangka meningkatkan tahap kesalinghubungan rangkaian jalan raya di Negeri Sembilan selain memudahkan akses ke kawasan pembangunan strategik di bawah MVV 2.0.
“Apabila siap kelak, pengguna dari Lebuhraya PLUS akan dapat memasuki Lebuhraya NLE dengan lebih mudah tanpa perlu melalui jalan-jalan persekutuan atau laluan sedia ada yang sering mengalami kesesakan.
“Ia bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah membantu melancarkan pergerakan trafik ke kawasan Nilai, Labu, Bandar Enstek dan KLIA,” katanya.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L