Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi tahun 2026 untuk melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM) MADANI di seluruh negara dalam usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat dan pembangunan komuniti setempat.
Bagi Fasa 1 program tersebut, sebanyak RM2.9 juta disalurkan bagi menjayakan 57 projek yang melibatkan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf pelbagai kemudahan awam di seluruh negara.
Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf masjid, surau, dewan orang ramai, sekolah, balai raya, fasiliti sukan, infrastruktur awam serta kawasan perkuburan yang memerlukan perhatian dan penyelenggaraan.
Program Jiwa Murni MADANI merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendekati rakyat melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada komuniti.
Inisiatif ini turut memperlihatkan peranan ATM bukan sahaja dalam aspek pertahanan dan keselamatan negara, malah sebagai rakan strategik kerajaan dalam membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui pembangunan kemudahan asas.
Pelaksanaan program berkenaan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan inklusif, kesejahteraan rakyat serta pengukuhan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Melalui peruntukan yang disediakan, lebih banyak kemudahan awam dijangka dapat dipulihkan dan ditambah baik, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan masyarakat.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L