“Jangan Bagi Video Ini Hilang” – Aktivis Malaysia Dalam Flotilla Jadi Perhatian Dunia

Oleh NurFarhana Zulkeply

KUALA LUMPUR – Rakaman melibatkan peserta Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 kini tular di media sosial selepas orang ramai menyeru supaya video berkenaan terus disebarkan agar tidak “hilang” daripada perhatian dunia.

Perkongsian yang dimuat naik seorang penganalisis media sosial di platform Thread menggesa orang ramai untuk terus repost dan reshare rakaman tersebut sebagai bukti keberanian aktivis yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi rakyat Palestin di Gaza.

“Rakaman ini sangat berharga bukti keberanian mereka yang mempertaruhkan nyawa demi rakyat Palestin,” menurut hantaran tersebut.

Aktivis media sosial Malaysia dikenali sebagai Haroq turut disebut dalam perkongsian berkenaan selepas didakwa menggunakan dron bagi memaparkan keadaan sebenar sepanjang misi flotilla sebelum peserta-peserta terbabit dipintas pihak Israel.

Perkembangan itu berlaku ketika dunia terus memberi perhatian terhadap nasib ratusan peserta Global Sumud Flotilla 2.0 yang ditahan selepas kapal bantuan menuju Gaza dipintas di perairan antarabangsa.

Dalam masa sama, pasukan peguam hak asasi daripada Adalah mendedahkan dakwaan berlaku pencabulan hak asasi manusia secara sistematik terhadap peserta flotilla yang ditahan pihak berkuasa Israel.

Peguam terbabit dilaporkan baru sahaja keluar dari Pelabuhan Ashdod selepas memberi bantuan guaman kepada sebahagian peserta yang ditahan.

Bagaimanapun, mereka mendakwa tidak dibenarkan bertemu semua tahanan susulan sekatan ketat dikenakan pihak Israel.

Menurut laporan tersebut, hampir kesemua peserta flotilla telah dipindahkan ke Penjara Ktziot selepas melalui proses imigresen awal.

Peguam turut mendakwa ramai peserta mengalami penderaan fizikal dan mental termasuk dipukul dengan ganas sehingga mengalami kecederaan serius.

Sekurang-kurangnya tiga individu dilaporkan dimasukkan ke hospital sebelum dibawa semula ke pusat tahanan.

Malah, terdapat dakwaan beberapa peserta mengalami patah tulang rusuk sehingga sukar bernafas selain penggunaan Taser secara berulang terhadap tahanan.

Aktivis flotilla juga didakwa ditembak menggunakan peluru getah ketika bot mereka dipintas serta semasa proses pemindahan ke bot tentera Israel.

Menurut peguam, keganasan bukan sahaja berlaku di atas kapal, malah berterusan sepanjang proses pemindahan ke pelabuhan.

Tahanan juga didakwa dipaksa berada dalam posisi menyakitkan untuk tempoh lama termasuk berjalan dalam keadaan tunduk sambil belakang ditekan secara kasar oleh pengawal.

Beberapa peserta pula dipaksa duduk melutut di dalam bot tanpa belas ihsan.

Lebih mengejutkan, laporan itu turut mendakwa berlaku penghinaan seksual terhadap peserta wanita termasuk insiden tudung direntap ketika dalam tahanan.

“Mereka bukan tentera. Mereka bukan ancaman. Mereka datang dengan misi kemanusiaan,” menurut laporan tersebut.

Adalah memaklumkan mereka akan terus memantau keadaan semua peserta flotilla dan menuntut pembebasan segera tanpa syarat terhadap tahanan yang masih berada dalam tahanan Israel.

Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan misi antarabangsa melibatkan puluhan kapal dan ratusan aktivis dari pelbagai negara yang cuba membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza serta mencabar sekatan ke atas wilayah Palestin itu.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.        

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *