JOHOR BAHRU – Tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang dipercayai menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan fitnah dan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mencetuskan kemarahan serta kebimbangan pelbagai pihak.
Perkara itu didedahkan Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor – Royal Press Office selepas mengesan kewujudan sebuah akaun TikTok palsu menggunakan nama “Sultan Ibrahim Ismail” yang memuat naik kandungan berunsur provokasi dan penghinaan melampau terhadap Ketua Negara.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, akaun berkenaan dipercayai memanipulasi imej serta kandungan menggunakan teknologi AI bagi mencipta video palsu yang menggambarkan Seri Paduka Baginda kononnya gemar memakan daging khinzir.
Royal Press Office menegaskan tuduhan tersebut bukan sahaja berniat jahat, malah merupakan penghinaan serius terhadap institusi diraja dan agama Islam memandangkan Yang di-Pertuan Agong ialah Raja Melayu serta Ketua Utama Negara yang beragama Islam.
“Kandungan sedemikian jelas melampaui batas dan sengaja diwujudkan untuk mencetuskan kebencian serta memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu,” menurut kenyataan itu.
Lebih membimbangkan, akaun palsu itu turut memuat naik satu lagi imej menghina apabila wajah Seri Paduka Baginda dipadankan pada tubuh seekor haiwan, tindakan yang disifatkan amat biadab dan tidak bertanggungjawab.
Sumber memaklumkan, modus operandi menggunakan teknologi AI kini semakin membimbangkan apabila ia membolehkan individu tidak bertanggungjawab menghasilkan kandungan palsu yang sukar dibezakan dengan bahan sebenar sebelum disebarkan secara meluas di media sosial.
Pemerhati keselamatan siber berkata, penyalahgunaan AI untuk mencipta fitnah dan kandungan menghina pemimpin negara boleh mengundang implikasi serius terhadap ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Susulan kejadian itu, Royal Press Office berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang terlibat dalam penghasilan dan penyebaran kandungan berkenaan.
“Perbuatan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan maruah institusi diraja, sensitiviti agama dan keselamatan negara,” kata kenyataan itu lagi.
Difahamkan, beberapa laporan turut dijangka dibuat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan lain yang berkaitan.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak berkongsi, menyebarkan atau mempercayai kandungan yang belum disahkan kesahihannya, khususnya yang melibatkan institusi diraja dan agama, kerana tindakan tersebut boleh mengeruhkan keadaan serta mendedahkan individu kepada tindakan undang-undang.
Kes berkenaan sekali lagi membuktikan ancaman penyalahgunaan teknologi AI dalam dunia digital semakin serius, terutama apabila ia digunakan untuk menghasilkan kandungan palsu, fitnah dan penghinaan yang mampu mempengaruhi persepsi masyarakat secara meluas.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L