Manifesto Parti Bersama: Janji Baharu Atau Sekadar Episod Lama Dengan Logo Baharu?

Dari Meja Editorial

POLITIK Malaysia memang menarik. Kadang-kadang lebih dramatik daripada drama TV jam 7. Pemimpin bergaduh, parti pecah, kawan jadi lawan, lawan jadi kawan. Yang berubah bukan sekadar slogan, tapi juga warna bendera dan logo parti.

Terbaharu, muncul pula Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui oleh Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad. Kemunculan parti ini terus dikaitkan dengan persiapan menghadapi PRU16 akan datang.

Macam biasa, bila parti baharu tertubuh, maka muncullah manifesto baharu. Kali ini bunyinya cukup besar dan penuh idealisme. Politik keberhasilan, reformasi institusi, ekonomi masa depan, pendidikan lebih moden, alam sekitar lestari, perumahan rakyat dan macam-macam lagi.

Pendek kata, kalau baca manifesto itu, rasa macam Malaysia esok terus boleh jadi negara Scandinavia versi tropika.

Ayat manifesto memang sedap. Susunan pun cantik. Istilah pun moden. Ada elemen data, produktiviti, reformasi dan keberanian politik. Semua bunyi macam pemimpin yang benar-benar faham masalah rakyat.

Tapi masalahnya satu saja. Rakyat masih ingat siapa Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini. Mereka bukan orang luar yang baharu muncul dari NGO atau dunia akademik. Mereka bukan tokoh bebas yang selama ini hanya jadi pengkritik kerajaan.

Mereka pernah berada dalam kerajaan sendiri. Pernah menjadi Menteri Ekonomi dan pernah memegang portfolio Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Maknanya mereka pernah ada kuasa. Pernah ada jawatan. Pernah duduk dalam kabinet, dan pernah buat keputusan. Jadi, bila hari ini mereka tampil membawa manifesto baharu seolah mahu menyelamatkan negara, ramai rakyat mula bertanya:

“Kalau dulu masa ada kuasa pun banyak benda tak jadi, kenapa sekarang rakyat kena percaya lagi?”

Inilah masalah utama politik Malaysia. Sebelum pilihan raya, manifesto nampak macam surat cinta kepada rakyat. Semua benda nak bantu. Semua benda nak turunkan harga. Semua benda nak reform.

Lepas menang? Rakyat pula yang kena “adjust”. Ketika kerajaan PH diberi mandat mentadbir kerajaan Persekutuan, rakyat mengharapkan banyak perubahan besar berlaku. Ramai percaya reformasi yang dijanjikan akan menjadi realiti.

Tetapi, selepas beberapa tahun, apa yang lebih dirasai rakyat bukanlah kejayaan manifesto, sebaliknya tekanan hidup yang semakin kuat.

Harga barang naik. Kos sara hidup makin sempit. Cukai bertambah. Subsidi makin kurang, dan minyak (petrol dan diesel) pula mula jadi isu panas.

Rakyat tunggu perubahan besar. Yang sampai bil bulanan makin besar. Sebab itu bila Parti Bersama muncul dengan manifesto baharu, ramai tak terus teruja. Reaksi rakyat sekarang tak macam dulu. Orang dah banyak kali “terkena”.

Dulu politik cukup dengan slogan dan ceramah berapi. Sekarang rakyat tengok resit barang dapur.

Penyokong Parti Bersama kata parti ini berbeza daripada parti lama. Mereka mahu politik yang lebih matang dan berpaksikan keberhasilan sebenar.

Bunyi memang hebat. Masalahnya, dalam politik Malaysia, rakyat dah biasa dengar ayat hebat. Yang rakyat nak tahu bukan siapa paling bijak bercakap atas pentas forum. Rakyat nak tengok siapa boleh buat kerja bila pegang kuasa.

Sebab bercakap soal reformasi ketika jadi pembangkang memang mudah. Bercakap soal idealisme ketika belum jadi kerajaan pun memang mudah. Cabaran sebenar bermula bila harga barang naik, ekonomi perlahan, rakyat marah, pelabur tekan kerajaan, subsidi perlu dikawal, dan setiap keputusan akan buat satu pihak tidak puas hati.

Di situlah rakyat mula ukur kemampuan sebenar pemimpin. Dan setakat ini, rekod Rafizi dan Nik Nazmi ketika berada dalam kerajaan masih menjadi bahan persoalan banyak pihak.

Satu lagi persoalan besar ialah kemampuan Parti Bersama itu sendiri. Hakikatnya, parti itu belum pernah diuji dalam pilihan raya. Belum ada rekod bertanding, apatah lagi beroleh kemenangan besar. Belum ada kekuatan akar umbi yang jelas. Belum tentu ada jentera sehebat parti-parti besar lain.

Dalam media sosial mungkin nampak kuat. Dalam forum mungkin nampak bijak. Dalam ceramah mungkin nampak yakin. Tapi, pilihan raya bukan pertandingan podcast. Pilihan raya perlukan jentera, duit, pengaruh akar umbi dan kesetiaan pengundi.

Sejarah politik Semenanjung Malaysia pun banyak menunjukkan satu perkara:
ramai pemimpin yang sangat popular dalam parti lama akhirnya tenggelam bila keluar buat parti baharu.

Masa dalam parti lama, orang angkat sebagai hero. Bila tubuh parti sendiri, baru sedar likes Facebook dan komen menyokong tak semestinya jadi undi.

Satu perkara yang politikus kena faham, rakyat hari ini semakin sinikal. Mereka dah penat dengan slogan perubahan, janji reformasi, manifesto berjela-jela, ceramah penuh semangat.

Sebab akhirnya rakyat tetap fikir benda yang sama: “Bulan depan cukup tak duit nak hidup?” Itu realiti sebenar rakyat sekarang.

Manifesto boleh cantik. Slide boleh profesional. Video kempen boleh nampak premium. Tapi, kalau kehidupan rakyat masih makin sempit, semua itu akhirnya tinggal bahan kempen saja.

Nampaknya Parti Bersama cuba membawa imej politik baharu dengan manifesto yang kelihatan progresif dan moden. Namun, cabaran terbesar Rafizi dan Nik Nazmi bukan menulis manifesto yang sedap dibaca, tetapi memulihkan keyakinan rakyat yang sudah terlalu banyak kali kecewa dengan janji politik.

Hari ini rakyat bukan lagi bertanya siapa paling pandai bercakap. Rakyat cuma mahu tahu satu benda: “Kalau dulu masa ada kuasa pun banyak benda tak selesai, apa jaminan kali ini akan jadi berbeza?” – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *