Vijay dari bintang filem kepada kuasa politik

HYDERABAD – Pilihan Raya Negeri Tamil Nadu dan Bengal Barat di India menghasilkan keputusan mengejut, sekali gus menggemparkan landskap politik negara itu.

Keputusan paling tidak dijangka datang dari Tamil Nadu apabila C Joseph Vijay, 51, yang tidak dianggap sebagai pencabar politik utama tetapi popular sebagai ikon filem, memimpin parti pimpinannya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) meraih kemenangan menewaskan parti pemerintah Dravida Munnetra Kazhagam (DMK).

Lebih dikenali sebagai Vijay atau Thalapathy (bermaksud pemimpin), beliau sebelum ini tidak dilihat sebagai ancaman politik sama ada kepada DMK mahupun All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK), dua parti yang memerintah Tamil Nadu selama lebih enam dekad.

TVK memperoleh 108 kerusi dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 234 kerusi, diikuti DMK dengan 59 kerusi dan AIADMK sebanyak 47 kerusi, manakala selebihnya dimenangi parti lain, menurut jumlah kerusi di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya.

Vijay dijangka memimpin negeri itu sebagai ketua menteri walaupun parti yang ditubuhkan pada 2024 itu gagal memperoleh 118 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti secara bersendirian.

Vijay yang pernah membintangi hampir 70 filem, bukan nama asing dalam dunia hiburan Tamil Nadu.

Popularitinya yang luar biasa kini diterjemahkan ke dalam kekuatan politik, menjadikan beliau antara tokoh paling berpengaruh dalam pilihan raya kali ini.

Penganalisis menyamakan kebangkitannya dengan legenda filem terdahulu seperti MG Ramachandran atau MGR yang pernah menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu selepas menubuhkan parti sendiri.

Menurut penganalisis sosial, kehadiran Vijay membawa ‘gaya baharu’ dalam politik – menggabungkan elemen populariti, emosi dan imej mesra rakyat yang kuat dalam kalangan pengundi muda.

Laporan analisis menunjukkan sokongan kuat terhadap TVK datang daripada golongan muda berusia 18 hingga 39 tahun serta pengundi wanita.

Faktor ini dilihat sebagai antara punca utama lonjakan sokongan terhadap parti baharu itu.

Namun, ada yang berpendapat kekuatan Vijay lebih banyak bergantung kepada imej dan populariti berbanding dasar politik yang jelas, menjadikan kempen beliau sangat bergantung kepada daya tarikan peribadi.

Dengan keputusan tidak memberikan majoriti mutlak, TVK kini berdepan cabaran membentuk kerajaan melalui rundingan dengan parti kecil dan calon bebas.

Situasi ini memaksa Vijay beralih daripada ‘tarikan massa’ kepada peranan sebagai pemimpin rundingan politik bagi memastikan beliau mampu membentuk kerajaan negeri.

Tamil Nadu sememangnya tidak asing dalam melahirkan tokoh politik besar daripada kalangan bintang filem.

AIADMK diasaskan oleh MGR selepas berpisah daripada DMK pada 1972 dan kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Menteri negeri itu.

J. Jayalalithaa, yang digelar “Puratchi Thalaivi” (pemimpin revolusi) dan dikenali sebagai Amma, mengambil alih parti itu selepas kematian MGR pada 1987 dan mendominasi politik Tamil Nadu selama tiga dekad, termasuk berkhidmat sebagai Ketua Menteri sebanyak enam kali.

Namun, AIADMK semakin lemah sejak kematian Jayalalithaa pada 2016 ketika berusia 68 tahun.

Kini Vijay dipuji sebagai ikon politik baharu di negeri itu yang mempunyai lebih 80 juta penduduk dengan identiti wilayah dan bahasa yang kuat.

Pilihan raya dewan undangan negeri diadakan di negeri Assam, Benggala Barat, Kerala, Tamil Nadu dan Wilayah Pentadbiran Persekutuan Puducherry bulan lalu dan pengiraan undi dilakukan Isnin lalu. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *