Program Pameran Tamadun Inca Serlah Persamaan Malaysia–Peru

Oleh: Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR -Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang merasmikan Program dan Pameran “The Great Inca Empire: Integration and Diversity” yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara menerusi Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Peru di Malaysia.

Dalam ucapannya, Aaron berkata, penganjuran program berunsur sejarah dan budaya seperti itu bukan sahaja membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali tamadun dunia dengan lebih mendalam, malah berperanan menggalakkan dialog antara budaya yang dapat menyemai nilai hormat, toleransi dan kefahaman dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Menurut beliau, pameran berkenaan turut menonjolkan persamaan antara Malaysia dan Peru sebagai negara berbilang etnik, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian sebagai asas penting dalam pembinaan negara bangsa yang harmoni dan inklusif.

“Sejarah dan budaya mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat merentas sempadan, di samping memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Pameran itu mengetengahkan keunikan tamadun Inca, termasuk sistem pentadbiran yang tersusun, seni bina yang mengagumkan serta nilai komuniti yang tinggi. Usaha ini juga mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa diplomasi budaya dalam masyarakat majmuk.

Selain itu, pameran berkenaan dilihat sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dan Peru, meliputi kerjasama dalam bidang pendidikan, pelancongan serta pertukaran ilmu dan budaya.

Inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa perpaduan nasional melalui pendekatan yang lebih inklusif dan berimpak tinggi, di samping mengangkat peranan budaya sebagai pemangkin keharmonian serta kestabilan sosial.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *