BATU PAHAT – Suasana pilu menyelubungi pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon dekat sini, apabila seorang murid Tahun Dua maut dalam kemalangan tragis di hadapan pintu utama sekolah itu, tengah hari semalam.
Lebih menyayat hati, ibu mangsa, Asmilah Tukiran, 37, tidak mampu menahan emosi sebaik dimaklumkan anak kesayangannya, Nur Aini Umairah, 8, adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
“Saya nampak orang ramai berkerumun di depan sekolah dan dengar murid lain menyebut nama ‘Aini’… Bila cikgu beritahu itu anak saya, badan saya terus lemah.
“Saya tak sanggup tengok jenazahnya… keadaannya sangat parah,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui media di Hospital Sultanah Nora Ismail.
Menurut Asmilah, kejadian itu berlaku hanya beberapa minit selepas dia terlewat tiba untuk menjemput anaknya pulang dari sekolah.
Sebelum itu, dia sedang menguruskan anak bongsunya, Ahmad Sufi, 5, yang baharu pulang dari prasekolah sekitar jam 12.30 tengah hari.
“Saya mandikan dia (Ahmad Sufi), tukarkan pakaian… kemudian dalam 10 minit saya terus keluar nak ambil Aini.
“Selama ini, saya selalu pesan kepada Aini tunggu dalam pagar sekolah. Biasanya bila saya sampai, baharu dia keluar,” katanya.
Namun, pada hari kejadian sesuatu yang tidak pernah dijangka berlaku.
“Saya tak tahu kenapa dia berada di luar pagar… mungkin dia nak beli sesuatu,” ujarnya, sambil mengesat air mata.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah van yang dipandu lelaki berusia 60 tahun sedang bergerak keluar dari kawasan sekolah selepas selesai menghantar barang.
“Mangsa dipercayai berjalan di hadapan pintu utama sebelum dilanggar kenderaan tersebut. Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Kejadian tragis itu sekali lagi mengundang persoalan mengenai tahap keselamatan di kawasan sekolah, khususnya pada waktu puncak ketika murid keluar pulang.
Bagi Asmilah, kehilangan anak perempuannya itu adalah satu luka yang sukar untuk sembuh.
“Pagi tadi dia masih ceria… tak sangka itu kali terakhir saya hantar dia ke sekolah,” katanya perlahan.
Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di kampung halaman keluarga dalam suasana penuh hiba, meninggalkan kenangan yang tidak akan pernah padam dalam ingatan seorang ibu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L