Oleh: Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor terus memperkukuhkan kebajikan rakyatnya apabila mengumumkan 22 inisiatif di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat dengan peruntukan sebanyak RM138 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 600,000 Bangsa Johor.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaksanaan inisiatif itu adalah selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail agar kebajikan rakyat terus dipelihara dan diperkasakan secara menyeluruh.
Beliau berkata, setakat 30 April lalu, Johor mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan melihat perkembangan hasil negeri mencecah RM1 bilion, meningkat RM307 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan tersebut bukan sahaja mencerminkan kekuatan ekonomi negeri, malah akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi.
“Setiap peningkatan hasil akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui inisiatif berimpak tinggi yang benar-benar dirasai oleh Bangsa Johor,” katanya ketika Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan peluasan BKJ Fasa Keempat akan memberi tumpuan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, suri rumah tidak bekerja, pasangan baharu berkahwin, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memastikan pelaksanaan program Jualan Kasih Johor berjalan lancar dengan menambah peruntukan sebanyak RM30 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM45.4 juta yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 750,200 keluarga di negeri ini.
“Walaupun usaha yang dilaksanakan belum mencukupi, kerajaan negeri akan terus berusaha menambah baik bantuan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
“Sekiranya hasil negeri terus meningkat, lebih banyak bantuan akan dapat disalurkan kepada seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Langkah proaktif ini mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan Johor dalam memastikan kemakmuran ekonomi dapat dikongsi secara inklusif, sekali gus memperkukuh kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat di negeri ini.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L