Tunku Mahkota Ismail gariskan empat isu asas bola sepak tempatan

KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail, menegaskan empat masalah utama yang masih menjadi penghalang kepada perkembangan bola sepak domestik, sekali gus memerlukan tindakan segera dan menyeluruh daripada semua pihak berkaitan.

Baginda menekankan bahawa isu pembangunan akar umbi yang tidak tersusun serta ketiadaan pertandingan belia yang benar-benar kompetitif menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesinambungan bakat tempatan dalam jangka panjang.

Selain itu, baginda turut menegaskan keperluan pembentukan badan pengadil yang bebas dan profesional bagi memastikan tahap pengadilan lebih konsisten serta berintegriti dalam saingan liga tempatan.

Tunku Mahkota Ismail turut mengingatkan bahawa struktur kewangan kelab masih berada pada tahap membimbangkan, khususnya apabila wujud kecenderungan berbelanja melebihi kemampuan serta kebergantungan kepada sumber tidak stabil. Menurut baginda, disiplin pengurusan kewangan perlu diperkukuh bagi mengelakkan isu berulang dalam ekosistem Liga Malaysia.

Dalam masa sama, kekurangan penaja kekal menjadi cabaran besar yang melemahkan daya saing liga, di samping keadaan infrastruktur seperti kualiti padang dan kemudahan stadium yang masih belum mencapai standard optimum.

“Kalau ada RM12, kita patut kurangkan perbelanjaan, bukan belanja RM15. Bila timbul masalah kewangan, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia), sedangkan pengurusan kewangan adalah tanggungjawab kelab masing-masing,” titah baginda dalam sesi perbincangan meja bulat MFL bersama wakil kelab Liga Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi MFL.

Baginda dalam pada itu menyambut baik inisiatif penganjuran sesi meja bulat tersebut, namun menegaskan kepentingan kejujuran dan keterbukaan semua pihak dalam mencari penyelesaian tanpa membawa naratif berbeza di luar mesyuarat rasmi.

“Kalau kita serius mahu membangunkan bola sepak, isu asas ini perlu diselesaikan terlebih dahulu,” titah baginda.

Sesi berkenaan yang turut dihadiri Presiden MFL, Ab Ghani Hassan, berlangsung di sebuah hotel di ibu negara dan turut dikejutkan dengan kehadiran Tunku Mahkota Ismail ketika perbincangan sedang berjalan.

Sebelum ini, beberapa kelab Liga Malaysia menggesa agar lebih banyak sesi libat urus diadakan secara menyeluruh, khususnya bagi membincangkan isu kewangan yang semakin membimbangkan, termasuk kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan serta peningkatan kos operasi yang semakin menekan kelab-kelab bertanding.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *